utama

Lubuk cuci duit

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Mudah mendapatkan akaun keldai menyebabkan Malaysia menjadi sasaran sindiket luar negara bagi memindahkan wang haram mereka untuk tujuan 'mencucinya' bagi dijadikan 'halal'.

Itu taktik sindiket terbabit yang akan memindahkan wang hasil kegiatan jenayah mereka seperti phone scam, tipu pelaburan, judi atas talian, Business Email Compromise (BEC), penyeludupan dadah dan sebagainya.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, berkemungkinan faktor akaun keldai mudah diperoleh adalah punca Malaysia menjadi sasaran sindiket untuk mencuci wang haram.

Menurutnya, apabila adanya sindiket yang dapat membekalkan akaun keldai kepada sindiket luar negara, mereka akan menggunakan keadah ini untuk menyalurkan wang ke Malaysia seterusnya dipindahkan ke negara lain.

"Negara yang kurang pematuhan dan peraturan kewangan turut dikenal pasti dijadikan sasaran sindiket, namun ini tidak bermakna Malaysia tidak mematuhi pematuhan ditetapkan badan antarabangsa.

"Selain itu, bank yang mengamalkan kerahsiaan dan keselamatan pelanggan mereka turut menjadi sasaran pihak sindiket luar negara untuk mencuci wang yang diperoleh," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Muhammed Hasbullah berkata, bagi tempoh 2022, sebanyak 43 kes sindiket luar negara terbabit pengubahan wang haram dikesan di negara ini dengan nilai kerugian RM77 juta manakala tahun lalu meningkat 87 kes dengan kerugian RM56 juta.

"Tiada jenis perniagaan spesifik yang didaftarkan oleh sindiket untuk menjalankan kegiatan cuci wang di Malaysia kerana apa-apa sahaja perkhidmatan ditawarkan syarikat atau perniagaan boleh digunakan untuk mengubah wang haram.

"Sebahagian besar sindiket turut menggunakan proksi untuk menubuhkan sesuatu syarikat atau perniagaan dengan memberikan dana bagi melancarkan segala aktiviti jenayah yang mereka lakukan," katanya.

Beliau berkata, syarikat diwujudkan sindiket ditubuhkan tanpa sebarang aset, operasi perniagaan atau perkhidmatan.

"Syarikat ini hanya berfungsi sebagai transaksi palsu seperti perniagaan biasa bagi membenarkan aliran wang tunai masuk.

"Pembayaran atau dana yang diterima akan dikitar semula menerusi beberapa syarikat lagi sebelum digunakan oleh ahli sindiket sebagai wang yang sah," katanya.

Menurutnya, sindiket ini juga mungkin akan menggunakan wang haram untuk aktiviti kebajikan bagi menutup mata pihak penguat kuasa menjalankan siasatan ke atas aktiviti mereka.

"Ada sindiket yang menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, aplikasi X, Telegram dan sebagainya untuk mengumpul dana melalui kutipan derma dan sumbangan.

"Sindiket ini akan mengiklankan di media sosial dengan meletakkan satu akaun bank atau lebih bagi tujuan kutipan derma atau sumbangan seolah-olah kutipan tersebut disalurkan untuk tujuan bantuan kebajikan di luar atau dalam negara.

"Sebaliknya kutipan itu digunakan untuk tujuan pembiayaan keganasan, menambahkan rangkaian sindiket atau merekrut ahli sindiket baharu," katanya.

Muhammed Hasbullah berkata, sindiket juga dikesan mewujudkan kelab kebajikan atau persatuan di dalam atau luar negara bagi dijadikan sebagai 'tunggangan' menyalurkan pergerakan wang haram.

'Negara membangun hilang satu trilion dolar setiap tahun'

Kegiatan jenayah pengubahan wang haram menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit kepada Malaysia.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, walaupun ada pelbagai langkah diambil PDRM untuk menangani sindiket cuci duit ini, namun bilangan kes pengubahan dikesan semakin meningkat selaras dengan peningkatan jenayah.

"Kebanyakan negara membangun kehilangan hampir satu trilion dolar setiap tahun dalam bentuk wang tunai yang dihasilkan daripada kegiatan sindiket cuci wang haram ini.

"Aktiviti sindiket wang haram ini boleh menyebabkan kemusnahan kepada negara. Kesan utama adalah seperti menaikkan kadar jenayah yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara," katanya.

Muhammed Hasbullah berkata, selain itu, ia juga akan menjejaskan integriti dan reputasi sektor perniagaan serta kewangan negara.

"Apabila perusahaan berteraskan jenayah banyak di pasaran domestik, secara tidak langsung akan menyebabkan pelabur hilang kepercayaan untuk membuat pelaburan," katanya.

Menurutnya, selain laporan polis, aktiviti pengubahan wang haram yang dijalankan sindiket luar negara dapat dikesan melalui laporan STR/CTR yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Selain BNM, pihak penguat kuasa dari luar negara turut memberikan maklumat kepada pihak Amla PDRM seperti Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Taiwan.

"Apabila maklumat sindiket luar negara diperoleh, kami akan menjalankan risikan dan siasatan berkaitan sindiket yang dilaporkan itu," katanya.

Muhammed Hasbullah berkata, Amla juga dilantik sebagai sekretariat pematuhan piawaian domestik dan antarabangsa untuk memantau serta menghadapi proses penilaian daripada pertubuhan antarabangsa.

Disiarkan pada: March 28, 2024 @ 12:01pm
d