utama

'Tak semua wanita jadi 'babu' jika berkahwin lelaki Pakistan'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: "Berkahwin dengan lelaki Pakistan mesti akan jadi 'babu' (orang suruhan), mesti dibuli keluarga lelaki dan kahwin semata-mata mahu MyKad."

Itu antara sindiran selalu didengari Suria Mohd Ikmal sejak dia memilih lelaki Pakistan sebagai suami.

Suria, 30-an, wanita asal Kuala Kangsar, Perak mengakui kerap menerima soalan berbaur sindiran apabila dia memilih lelaki warga Pakistan, Hammad Ramay, 38, sebagai suami sejak 12 tahun lalu, namun mengakui tidak 'melatah' dengan soalan netizen sejak dia terbuka berkongsi kisahnya di TikTok.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia terbuka berkongsi kisahnya di akaun media sosial itu kerana mahu mengubah stigma negatif masyarakat mengenai wanita tempatan yang memilih mengahwini lelaki warga asing terutama Pakistan.

"Memang ramai juga yang cakap kita akan menjadi 'babu' dan dibuli keluarga lelaki tetapi tidak semua seperti itu, sebab itu saya kongsi pengalaman saya bersama keluarga mentua yang melayan saya dengan baik dan mereka juga tidak menyuruh kita melakukan semua kerja rumah seorang diri.

"Kalau diikutkan memang budaya mereka orang perempuan yang akan melakukan semua kerja rumah tetapi sebenarnya ia sama saja dengan kita di sini yang mana ada juga lelaki akan membantu melakukan kerja rumah meringankan beban isteri," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, dia dan anak bongsunya kini berada di kampung halaman suami di Punjab, Pakistan sejak Februari lalu untuk menguruskan beberapa urusan perniagaan dan tinggal di rumah bersama keluarga mentua manakala suami di Kuala Lumpur menguruskan dua anak yang bersekolah.

"Saya memang selalu balik kampung suami dan ini kali kedua saya pulang sendiri tanpa suami. Alhamdulillah, keluarga mentua semua baik dan saya juga suka berkongsi aktiviti kami di sini tak sangka pula akan mendapat perhatian ramai.

"Saya cuma berkongsi kisah sendiri tetapi saya tidak pernah menggalakkan orang pilih lelaki negara sama atau mana-mana negara. Secara tidak langsung perkongsian itu juga memberi gambaran kepada wanita yang berkahwin dengan lelaki dari negara sama yang sebelum ini takut untuk pulang ke kampung kini sudah berani pulang bercuti ke Pakistan.

"Apa yang penting cara kita membawa diri sebagai menantu walau siapa pun mentua kita dan negara asalnya," katanya mengakui suami tidak memohon status pemastautin tetap dan masih menggunakan visa pasangan sejak 12 tahun lalu.

Bercerita lanjut, Suria berkata, dia dan suami berkenalan di ibu kota yang mana ketika itu mereka masing-masing sedang belajar di universiti swasta berasingan sebelum akhirnya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

"Pada mulanya keluarga bimbang juga serta tak bagi kahwin tetapi apabila suami dan keluarga besar saling mengenali, malah suami juga beradaptasi dengan kehidupan masyarakat Melayu, mereka memberi keizinan untuk kami berkahwin," katanya kini menjalankan perniagaan produk Pakistan.

Sementara itu, berkongsi pengalaman berpuasa di Pakistan, Suria berkata, dia sudah dua kali berpuasa di negara itu dan mengakui perbezaan juadah tidak membuatnya kekok.

"Tempoh masa berpuasa di sini lebih dua jam dari Malaysia dan ketika ini sudah penghujung musim sejuk dan mula memasuki musim luruh jadi tidak mencabar seperti musim panas yang suhu mencapai 47 hingga 50 darjah celcius.

"Orang di sini biasanya makan makanan bergoreng seperti kentang goreng, samosa dan cucur kentang (pakora) sebagai pembuka juadah sebelum makan makanan berat seperti capati selepas solat tarawih.

"Begitu juga sahur mereka akan makan capati yogurt untuk lebih kenyang dan kurang rasa dahaga pada waktu siang tetapi saya tetap akan makan nasi," katanya yang berterima kasih kepada netizen yang turut memberi komen positif.

Disiarkan pada: March 28, 2024 @ 4:08pm
d