utama

Ketirisan cukai RM2 bilion, SPRM tahan 34 anggota kastam

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Putrajaya: Seramai 34 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup membabitkan ketirisan hasil cukai RM2 bilion ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Samba 2.0 sejak 11 Mac lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, operasi khas bermula pada 11 Mac hingga 25 Mac lalu diketuai Bahagian AML, SPRM bersama pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) serta bantuan daripada SPRM Putrajaya, SPRM Selangor dan SPRM Kuala Lumpur.

Menurutnya, hasil operasi itu, seramai 34 anggota dan pegawai kastam dari gred 19 hingga gred 44 ditahan bersama 27 individu dan pemilik syarikat yang terbabit di dalam industri pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup.

Beliau berkata, sindiket dipercayai merasuah pegawai agensi penguatkuasaan bagi melindungi aktiviti penyeludupan yang dijalankan sejak 2017 sehingga kini.

"Penjawat awam yang ditahan berusia 30-an hingga 50-an terdiri pembantu penguat kuasa kastam sehingga ke penolong pengarah kastam yang bertugas dalam pemeriksaan dan pencegahan di Cawangan Import/Eksport di KLIA Kargo, Sepang.

"Untuk makluman, pegawai dan anggota kastam ini dikesan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Azam berkata, modus operandi di dalam kes ini adalah sindiket importer ini menggunakan perkhidmatan 'forwarding agent' sebagai orang tengah bagi pembayaran rasuah kepada penguat kuasa yang bertugas dalam pemeriksaan dan pencegahan di Cawangan Import/Eksport di KLIA Kargo, Sepang sebagai balasan bagi melicinkan proses penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

"Selain itu, sindiket ini juga menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada pegawai kastam bagi mengelakkan transaksi kewangan terbabit dikesan oleh pihak berkuasa.

"Selain itu, sindiket juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan 'syarikat hantu', pengurup wang, kegiatan judi atas talian, kegiatan pelacuran dan juga melalui syarikat pinjaman wang berlesen," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati sebanyak 19 'syarikat hantu' ditubuhkan dengan menjalankan pelbagai perniagaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Hasil semakan terhadap dokumen import (K1) membabitkan syarikat importer milik sindiket yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan di KLIA Kargo, Sepang, anggaran jumlah ketirisan kepada kerajaan Malaysia adalah mencecah RM1.5 bilion sehingga RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun.

"Berikutan penahanan individu terbabit dalam siasatan Ops Samba 2.0, Bahagian AML, SPRM merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

"Selain itu, Bahagian AML, SPRM juga membekukan sejumlah 231 akaun bank kesemua individu berkenaan dan syarikat yang bertindak sebagai keldai akaun dengan jumlah pembekuan sebanyak RM17,621,578.50," katanya.

Katanya, kenderaan milik syarikat yang disita itu akan dilupus hak menjadi milik kerajaan sebelum dilelongkan kerana ia diperoleh secara haram.

"Pegawai kastam yang bersekongkol dengan sindiket tidak akan membuat pemeriksaan secara teliti kerana menerima suapan malah sindiket akan membawa masuk barangan ketika pegawai terbabit bertugas," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sindiket menggunakan taktik seludup masuk barangan seperti arak, tembakau dan rokok dengan membuat pengisytiharan palsu bagi mengaburi pihak berkuasa di KLIA.

Mereka turut membawa masuk alat ganti kereta dan peralatan kosmetik tanpa kelulusan kastam sebelum 'lolos' apabila penjawat awam tidak melakukan pemeriksaan ketat akibat sudah menerima imbuhan masing-masing.

Menurut sumber, sindiket yang menubuhkan beberapa syarikat bagi menjalankan operasi penyeludupan barangan dari India, Bangladesh, Vietnam dan beberapa negara lain itu didalangi dua individu bergelar Datuk.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 12:33pm
d