utama

Ronda hapus jenayah, bukan 'cari duit kopi'

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Sebagai barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) tidak lepas daripada menerima kecaman dan pandangan serong masyarakat akibat tindakan segelintir anggotanya.

Kehadiran mereka kadang-kadang dianggap hanya hadir untuk mencari kesalahan gara-gara tindakan kurang bijak sebilangan kecil anggota yang sekali gus memberi kesan negatif kepada keseluruhan warga PDRM yang penuh dedikasi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Darat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Asisten Komisioner Che Haniza Che Senapi berkata, pihaknya berusaha keras untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM.

Katanya, elemen URB dan MPV memainkan fungsi penting iaitu mengurangkan kadar jenayah dan menghapuskan niat jenayah menerusi rondaan seterusnya menghapuskan peluang jenayah dan pada masa sama menangani persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM.

"Berdasarkan pemerhatian, kami dapati persepsi negatif masyarakat terhadap unit URB dan MPV berlaku kerana tugasan mereka yang sentiasa berada di jalanan dan dianggap mencari masalah.

"Berbeza jika dibandingkan dengan polis balai atau jabatan lain yang hanya berurusan dengan masyarakat bila ada keperluan, bila ada masalah atau dalam kesusahan baru orang ramai cari mereka," katanya.

Che Haniza berkata, penugasan rondaan URB dan MPV yang sentiasa di lapangan untuk pencegahan jenayah sebaliknya menimbulkan persepsi kurang enak dalam kalangan masyarakat yang menganggap anggota berkenaan sedang 'cari makan' atau cari 'duit kopi'.

Bagaimanapun katanya, perkara itu hanya membabitkan sebilangan kecil anggota polis yang tidak berintegriti, namun apabila berlaku perkara seperti itu segala jasa, kejayaan dan kebaikan PDRM terus dilupakan.

"Daripada lebih 6,000 anggota MPV dan URB ini ramai yang berdedikasi, malah ketika mereka berhenti makan pun sebenarnya mereka masih dalam tugas. Orang ramai boleh hampiri mereka dan minta bantuan atau salurkan maklumat berkaitan jenayah dan keselamatan komuniti.

"Cuma saya pelik apabila masyarakat mengata macam-macam apabila melihat anggota peronda berhenti makan untuk 15 ke 30 minit sahaja.

"Kalau syif lapan jam bekerja dalam kereta, sudah tentu dalam tempoh berkenaan mereka akan berhenti berehat, makan dan minum.

"Malah bila mereka berhenti makan di kedai atau solat di masjid atau surau, sebenarnya mereka masih bertugas iaitu perlu membuat community policing dan stop and talk dengan orang awam," katanya.

Menurutnya, dalam usaha mengatasi masalah integriti setiap anggota peronda di wajib untuk melaporkan pergerakan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) atau Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) setiap 30 minit menerusi alat perhubungan pasukan.

Selain itu, PDRM juga akan melancarkan projek rintis penggunaan kamera badan atau body worn camera (BWC) bermula Jun depan membabitkan anggota rondaan di dua daerah masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kami sedang kemas kini Prosedur Operasi Standard (SOP) penggunaan BWC dan akan melaksanakan projek rintis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan IPD Klang Utara.

"BWC dijangka digunakan sepenuhnya menjelang Februari tahun depan di mana ia wajib terpasang sepanjang lapan jam bagi setiap syif anggota URB dan MPV," katanya.

Menurutnya, penggunaan BWC bukan sahaja untuk menjaga integriti anggota dan pegawai polis malah diharap dapat mengurangkan kes membabitkan orang awam memprovokasi atau mengeluarkan kata-kata kesat ketika diperiksa.

Dalam pada itu Che Haniza mengingatkan setiap warga PDRM supaya tidak terbabit dalam salah laku atau perbuatan jenayah kerana kesannya bukan sahaja pada diri sendiri malah turut menjejaskan keluarga, komuniti dan imej negara.

Disiarkan pada: April 1, 2024 @ 6:45am
d