utama

Anwar ucap tahniah kejayaan Sivasangari

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari yang melakar sejarah menjuarai kejohanan Jelajah PSA Emas di Klasik London 2024 buat kali pertama, semalam.

Pemain yang menduduki ranking ke-13 dunia itu muncul juara selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Hania El Hammamy dari Mesir 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 dalam tempoh 81 minit pada perlawanan berlangsung di Alexandra Palace London.

"Tahniah saya ucapkan kepada pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari yang berjaya menjuarai kejohanan London Klasik menewaskan pemain No. 2 dunia dari Mesir, Hania El Hammamy.

"Saya juga dimaklumkan bahawa beliau menjadi pemain Malaysia pertama mara ke final kejohanan bertaraf emas dalam saingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas kali terakhir dilakukan Datuk Nicol David pada 2015.

"Tahniah sekali lagi saya ucapkan, semoga kemenangan ini akan mendorong lebih banyak kejayaan di masa akan datang," katanya menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya.

Sivasangari yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, mempamerkan aksi konsisten sepanjang minggu kejohanan berprestij itu selepas menewaskan pemain ranking pertama dunia dari Mesir, Nour El Sherbini di suku akhir.

Dia kemudian menumbangkan pemain nombor empat dunia dari Belgium, Nele Gilis pada aksi separuh akhir untuk mara ke final kejohanan bertaraf emas buat kali pertama.

Dengan kemenangan itu, Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai AS$17,598 (RM83,141).

Disiarkan pada: April 2, 2024 @ 1:19pm
d