utama

Jaafar Onn meninggal dunia akibat serangan jantung

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Serdang: Anak angkat pelakon dan pengacara Jaafar Onn iaitu Mohamad Hanif Hashim, 30, memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menjalani prosedur endoskopi, di Hospital Sultan Idris Shah, di sini, pagi tadi.

Hanif berkata, dia juga diberitahu oleh doktor bahawa prosedur itu berisiko tinggi kerana jantung Allahyarham ketika itu lemah.

"Pagi tadi papa ada melalui prosedur endoskopi dan doktor memang ada beritahu prosedur itu berisiko. Ini kerana papa ada masalah jantung lemah tapi terpaksa juga dibuat kerana berlaku pendarahan ketika membuang air besar.

"Kadar degupan jantungnya memang tinggi sampai 140. Ketika melalui prosedur endoskopi itu, papa mengalami serangan jantung dan meninggal dunia pada jam 11.32 pagi," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik forensik hospital berkenaan, hari ini.

Hanif berkata, Allahyarham pada mulanya pergi ke klinik kerana mengalami tekanan darah rendah dan pendarahan tanpa henti semasa membuang air besar.

"Doktor turut memaklumkan kemungkinan pendarahan itu berlaku disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang diambil terlalu lama.

"Papa mulanya mengalami tekanan darah rendah kelmarin dan dalam pada sama dia juga membuang air besar berdarah. Pendarahan itu terlampau banyak dan tak berhenti.

"Kemungkinan pendarahan itu disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang diambil oleh papa. Ikutkan memang dah lama papa ambil ubat itu, sebelum saya jaga dia lagi," katanya.

Menurutnya, Jaafar mengambil ubat tahan sakit disebabkan dia mengalami sakit lutut.

"Ramadan tahun lalu dia dapat tahu ada masalah jantung. Ia juga menyebabkan kakinya bengkak.

"Buang air besar berdarah pula mungkin disebabkan ada ulser dalam perut. Patutnya Febaruari lalu ada rawatan susulan tapi tak dapat pergi sebab ada urusan lain." katanya.

Jenazah Allahyarham diuruskan di hospital dan dijangka dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Tanjung Gading, Muar, Johor untuk dikebumikan, hari ini. .

Kesihatan Jaafar sebelum ini dilaporkan merosot sebelum ditahan di hospital selepas mengalami pendarahan semasa membuang air besar.

Disiarkan pada: April 3, 2024 @ 1:59pm
d