utama

SPRM mula 'masuk' FAM, bawa fail keluar untuk siasatan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus bergoncang apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula membuat kerja mereka dengan 'melawat' badan induk bola sepak negara itu dua hari lalu.

Situasi terbabit disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan bahawa pihaknya sudah mula menjalankan siasatan berdasarkan kepada aduan orang ramai.

Beliau berkata, beberapa bukti seperti fail turut diambil pegawai SPRM dalam usaha untuk melengkapkan siasatan berkaitan dakwaan membabitkan salah laku yang terjadi di FAM.

"Berdasarkan kepada aduan awam, SPRM telah menjalankan siasatan sejak dua hari lalu. Kami juga telah mengambil beberapa fail daripada FAM sebagai sebahagian daripada siasatan.

"Kebanyakan isu yang disebut (dalam surat layang) tersebut berkaitan hal pentadbiran, dan SPRM tidak akan meneliti perkara tersebut. SPRM hanya akan membuat siasatan terhadap dakwaan isu jenayah.

"Setakat ini, kami tidak mahu mendedahkan sebarang butiran kerana siasatan sedang dijalankan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi tetapi memberi ruang untuk siasatan dijalankan. SPRM akan menjalankan siasatan secara profesional dan bertindak adil kepada semua pihak yang terbabit," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, tular di media sosial 'surat layang' dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM.

Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan.

Kesemua dakwaan sekali gus menambah tekanan dan kehangatan sehari sebelum berlangsungnya Kongres Tahunan ke-60 FAM pada Isnin lalu.

Sementara itu, menurut sumber, sememangnya sejak beberapa hari lalu terdapat pegawai SPRM yang hadir ke pejabat FAM di Kelana Jaya untuk siasatan lanjut.

"Memang ada beberapa pegawai hadir ke pejabat FAM. Namun, tidak diketahui motif mereka berbuat demikian," katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2024 @ 4:33pm
d