utama

Akmal sudah dibebaskan, akui tidak patah semangat

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Selepas lebih tiga jam ditahan, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh dibebaskan pada 2 petang tadi.

Ia dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu menerusi muat naik di Facebooknya (FB) 6 petang tadi.

Sepanjang ditahan katanya, beliau dimaklumkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.

"Alhamdulillah saya sudah dibenarkan keluar selepas diambil kenyataan bermula dari 10.40 pagi hingga 2 petang tadi.

"Apa pun kesusahan dan cabaran dihadapkan kepada saya, ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk terus berjuang dan berkata tentang kebenaran demi agama dan ummah.

"Jika ini harga yang perlu saya bayar demi mempertahankan agama dan bangsa, saya rela dengan sepenuh hati. Kekal boikot. No fear, no surrender!" kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu.

Berkongsi detik ditahan polis, Dr Muhammad Akmal berkata, beliau asalnya dibenarkan pulang selepas menjalani sesi rakaman keterangan antara 10.40 pagi hingga 12.40 tengah hari tadi.

Namun, katanya, tempoh penahanannya dilanjutkan selepas selesai memberi ulasan kepada pengamal media dan sekali lagi diminta memberi keterangan yang mengambil masa selama dua jam.

Beliau juga berterima kasih kepada kepemimpinan Umno yang menghubungi dan membantunya serta seluruh rakyat yang mendoakan kesejahteraannya sepanjang ditahan polis.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah dan saya seperti saya katakan saya akan beri kerjasama penuh.

"Pada asalnya saya diminta untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi di sini, esok dan saya bersetuju bagi tujuan terbabit. Namun, saya ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Sabah untuk dibawa ke IPD Kota Kinabalu," katanya.

Berita penahanan Dr Muhammad Akmal turut meraih perhatian pelbagai pihak, terutama pemimpin Pemuda Umno pelbagai peringkat yang menyatakan solidariti terhadap situasi dialami bekas Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka itu.

Antaranya, Adun Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem menerusi muat naik di FB berkata: "Apa pun berlaku kami teguh bersaudara selamanya. Akmal Saleh tak pernah berseorangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah, Mohd Safwan Jaafar dalam kenyataan, berkata Pemuda Umno negeri itu akan terus kekal bersama Dr Akmal Saleh, selain menyeru seluruh rakyat negeri jelapang padi itu untuk bersolidariti bersama beliau.

"Pemuda Umno Kedah sangat jelas dengan pendirian Dr Akmal Saleh mempertahankan Islam di saat ada pihak tertentu 'mengunci mulut' dalam isu ini. Semoga Allah SWT memudahkan urusan kita dalam mempertahankan Islam," katanya.

Exco Pemuda Umno, Aizat Azam pula menegaskan Biro Aduan Awam dan Undang-Undang Pemuda Umno sudah menubuhkan pasukan peguam pemerhati yang akan membantu Dr Muhammad Akmal.

"Rakan bijaksana yang berminat nak sertai pasukan peguam ini, boleh berhubung dengan saya atau Shah Zanuriman atau Afzan Manaf," katanya.

Ketua Pemuda Umno Kota Melaka, Mohd Asyraf Zainal turut bersolidariti ke atas situasi dihadapi Dr Muhammad Akmal.

"Semoga Allah SWT memberikan kemudahan di atas setiap urusan beliau dan kuat menghadapi setiap cabaran tanpa rasa gentar," katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2024 @ 10:01pm
d