utama

'Kalau sewa tak pening kepala bayar bulan-bulan'

Oleh Mahaizura Abd Malik dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Bukan trend semata-mata, sebaliknya perkhidmatan sewa kereta untuk pulang ke kampung halaman kini menjadi pilihan kerana dianggap lebih menjimatkan berbanding memiliki sendiri kenderaan itu.

Ini kerana mereka berpandangan tidak perlu untuk menanggung beban komitmen bulanan dan penyelenggaraan selain cukai jalan mahupun insurans.

Selain itu, faktor keselamatan dan keselesaan juga menyebabkan perkhidmatan kereta sewa digunakan perantau untuk pulang beraya di kampung halaman masing-masing.

Ikuti perkongsian individu ini yang memilih menyewa kenderaan untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

KISAH 1

Mengambil perkhidmatan sewa lebih menjimatkan dan berbaloi berbanding memiliki sendiri kenderaan berkenaan.

Bagi peniaga, Asmadi Abdul Latif, 54, pengendali kenderaan sewa akan menyediakan segala-galanya untuk kereta yang ditempah pelanggan.

Selain itu katanya, dia tidak perlu mengeluarkan 'duit lebih' untuk memperbaiki dan melakukan servis terhadap kereta Proton Persona yang digunakannya sejak 2011.

"Saya membelanjakan RM1,500 bagi menempah Perodua Alza selama seminggu untuk pulang ke kampung halaman di Kubang Kerian, Kelantan bersama keluarga.

"Kita sebenarnya nak selamat (sampai ke destinasi) berbanding kalau kita guna kereta sendiri. Guna kereta lama ini belum tentu sampai.

"Kereta lama kalau kita habis RM1,000 pun belum tentu selamat. Sebab ada benda yang kita tak tukar.

"Kalau sewa kereta baru ini, walaupun habis RM1,500, kita tak payah nak fikir banyak perkara," katanya kepada Harian Metro.

Dia yang tinggal di Sungai Buloh, Selangor akan menggunakan kereta sewa apabila pulang menyambut Aidilfitri dan Aidiladha.

"Saya juga mula menggunakan perkhidmatan kereta sewa untuk balik beraya ini sejak 2022. Saya ambil Perodua Alza pun disebabkan ia sesuai kerana kenderaan ini ada tujuh tempat duduk. Jadi, sesuailah untuk balik kampung," katanya.

KISAH 2

Sanggup menabung selama setahun bagi menyewa kenderaan lebih selesa untuk keluarga pulang ke kampung halaman pada sambutan Aidilfitri.

Itu rutin dilakukan Amin, 35, sejak lebih tiga tahun lalu bagi memastikan isteri, dua anak serta ibu bapanya selesa pulang ke kampung halaman di Perlis.

Katanya, sejak lebih lima tahun mendirikan rumah tangga, ibu bapanya menetap bersama dengannya di Lembah Klang kerana dia menggalas tanggungjawab menjaga mereka.

"Pada mulanya kami balik kampung naik kereta sedan saya, tetapi perjalanan yang jauh menyebabkan orang tua dan anak agak tidak selesa menyebabkan saya perlu berhenti banyak kali dan sering kali tempoh perjalanan yang mengambil dua atau tiga kali ganda berbanding biasa.

"Melihat keperluan keluarga, saya membuat keputusan untuk menyewa Toyota Vellfire untuk beri keselesaan semasa balik kampung," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut pekerja swasta itu, buat masa ini dia tidak mampu memiliki kenderaan mewah itu kerana tidak mahu terikat dengan komitmen bayaran bulanan selain cukai jalan dan insurans serta kos penyelenggaraan.

"Saya tidak kisah orang nak kata apa sebab sudah buat kira-kira, contohnya kalau ada Toyota Vellfire sendiri ia akan membuatkan komitmen saya jadi tinggi iaitu bayaran RM2,500 ke RM3,500 sebulan.

"Ia belum termasuk cukai jalan dan insurans mencecah RM4,000 dan sekali penyelengaraan RM600 ke RM800.

"Jadi, memang jimat banyak saya sewa sebab hanya perlu keluarkan RM5,000 untuk seminggu dan pada masa sama perjalanan jauh keluarga akan menjadi lebih selesa," katanya.

Katanya, dia akan mula menyimpan setiap bulan selama setahun sebelum kedatangan Aidilfitri.

"Setiap bulan, saya dan isteri akan simpan siap-siap kira-kira RM200 hingga RM300 (sebulan) dan selebihnya kami tambah dengan duit bonus.

"Apa salahnya kita menabung demi kegunaan dan keselesaan setahun sekali menyambut Aidilfitri," katanya.

KISAH 3

Peniaga, Muhammad Abu Bakar, 50, membuat keputusan menyewa Hyundai Starex kerana ahli keluarganya ramai serta untuk keselesaan anak-anaknya pulang beraya di Pendang, Kedah.

"Saya sewa ini sebab keluarga ramai. Disebabkan itu, saya nak pakai kereta yang besar untuk balik kampung.

"Saya hanya memiliki Perodua Myvi sahaja. Kalau pakai kereta Perodua Myvi ini, nak balik kampung, memang tak muat," katanya yang mempunyai lima anak.

Dia yang tinggal di Sungai Buloh, Selangor berkata, sudah tiga tahun dia pulang beraya menggunakan kereta sewa.

Walaupun terpaksa membelanjakan RM3,150 untuk menggunakan kereta sewa itu selama seminggu, Muhammad berpandangan ia amat berbaloi.

"Ikut kepada keadaan, banyak makan modal. Tetapi kalau kita nak beli kereta (baru) itu, lagi tinggi kosnya sebab nak bayar secara bulanan dan penyelenggaraan.

"Jadi, saya kira berbaloi apabila kita pakai kereta sewa untuk keluarga. Seminggu itu membolehkan kita berjalan sana-sini," katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2024 @ 12:00pm
d