utama

'Kalau mak cik itu datang minta maaf, saya maafkan saja' - Syahmi Mooi

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Saya suka ke Masjid Negara dan tak serik ke situ lagi selepas ini walaupun ada insiden dengan mak cik pengawal keselamatan tempoh hari," kata Syahmi Mooi, 24, atau mesra disapa Mooi susulan insiden ditegur pengawal keselamatan wanita yang memintanya memakai tudung ketika berada di dalam Masjid Negara.

Menurut Mooi, kejadian itu berlaku Jumaat lalu ketika dia berehat di dalam masjid untuk menunggu masuknya waktu solat Jumaat.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang yang menetap di Cheras, di sini, berkata, pada hari berkenaan, dia memakai baju T dan seluar panjang mengikut kesesuaian pakaian ke masjid.

Disebabkan itu, dia tidak menyangka akan mendapat teguran berkenaan kerana langsung tidak berpakaian seperti wanita.

"Ikutkan, saya memang selalu ke Masjid Negara untuk solat Jumaat dan solat Aidilfitri malah ia sudah jadi rutin sejak kecil lagi.

"Kakitangan di situ pun sudah kenal saya dan tempoh hari, saya datang awal kira-kira jam 11.30 pagi.

"Waktu itu, tak ramai orang lagi dan sempat ambil gambar suasana dalam masjid sementara tunggu masuk waktu solat.

"Sedang saya duduk berehat dengan bersandar di salah satu tiang, seorang pengawal keselamatan wanita yang saya tak pernah nampak datang dan minta pakai tudung seperti dalam video yang saya muat naik di TikTok itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mooi, dia kemudiannya memberitahu pengawal keselamatan itu yang dia lelaki namun wanita berkenaan tetap meminta memakai tudung.

"Mak cik itu macam nak mencari salah walaupun dua kali saya beritahu saya lelaki.

"Dia pun tak beritahu saya alasan dia minta saya bertudung sebaliknya beredar selepas itu tanpa memohon maaf kerana salah sangka.

"Saya nampak dia pergi ke jemaah lelaki lain di belakang dan berkata sesuatu sebelum pergi mungkin kerana malu.

"Walaupun saya berambut panjang dan memang ada wajah feminin namun tak sepatutnya dilayan begitu kerana saya bukan masuk masjid bawa beg tangan, tapi beg selempang itu pun yang biasa saja," katanya.

Mooi berkata, selepas kejadian itu, dia tidak beredar malah terus berada di masjid kerana niatnya datang untuk menunaikan solat Jumaat.

Katanya, perkongsian video di TikTok juga sekadar untuk berkongsi pengalaman dilaluinya tempoh hari.

"Selepas muat naik, dalam setengah hari juga saya tak buka TikTok dan tak sangka video itu boleh tular di laman sosial.

"Sehari selepas muat naik video pun, ada wakil dari Masjid Negara berhubung dengan saya di TikTok dan semalam, saya terbaca pihak masjid sudah keluarkan kenyataan permohonan maaf terbuka.

"Jujurnya, saya tiada niat nak memperbesarkan isu itu malah muat naik video bukan untuk mengaibkan mak cik berkenaan cuma berharap apa yang berlaku dijadikan pengajaran.

"Jangan kerana tindakan kita menghukum atau menilai seseorang, ada orang yang nak berubah ke arah lebih baik menjauhi masjid dan Tuhan kerana semua orang berusaha jadi lebih baik," katanya.

Ditanya sama ada dia sudah memaafkan pengawal keselamatan itu, Mooi berkata, dia tidak keberatan berbuat demikian jika wanita berkenaan tampil berjumpa atau menghubunginya.

"Kalau ke masjid itu lagi dan mak cik itu datang minta maaf, saya maafkan saja kerana kalau tidak, apa yang nak dimaafkan?

"Lagipun, semua orang buat silap dan sebelum ini pun, memang ada yang salah sangka ingat saya perempuan terutama ketika di tandas awam namun biasanya individu berkenaan memohon maaf selepas tahu hal sebenar.

"Saya pun pernah juga salah sangka dan diharap orang ramai yang menonton video melihatnya daripada sudut positif, menjaga sensitiviti, ada 'common sense' serta lebih beradab supaya tiada yang tersinggung dengan perbuatan kita.

"Semua yang berlaku itu bersebab dan jujurnya saya takut juga apabila kisah itu tular kerana zaman sekarang siapa pun boleh jadi tular, bezanya bila waktunya saja," katanya.

Semalam, Masjid Negara membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pengunjung lelaki berambut panjang yang diminta memakai tudung oleh pengawal keselamatan seperti tular di media sosial.

Masjid Negara dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya memandang serius perkara terbabit dan akan memastikan ia tidak berulang di masa akan datang bagi menjamin reputasi dan imej institusi masjid kekal terpelihara.

Disiarkan pada: April 8, 2024 @ 2:37pm
d