utama

'Leteran pagi raya sudah tiada'

Oleh Alias Abd Rani

Muar: "Kami terlalu rindu suara mereka, tiada lagi leteran kedengaran di pagi raya kali ini dan gambar kami sekeluarga dirakam di rumah nenek pada raya ketiga tahun lalu ialah yang terakhir."

Itu luahan dua beradik yatim piatu yang terpaksa menyambut lebaran tanpa insan tercinta selepas enam ahli keluarga mereka pergi serentak dalam kemalangan di Segamat, September tahun lalu.

Abdur Rahman Amir Ruddin, 20, dan adiknya, Abdullah, 16, hilang tempat bergantung dan hanya menumpang kasih nenek, ibu dan bapa saudara mereka sejak tragedi itu.

Mahu atau tidak, Abdur Rahman dan Abdullah yang juga satu-satunya ahli keluarga terselamat dalam tragedi petang Jumaat itu melalui saat getir walaupun kisah pahit terbabit sudah tujuh bulan berlalu.

Ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Parit Lapis Darat, Parit Jawa di sini, Abdur Rahman kelihatan menahan sebak setiap kali menyebut nama ibu, Norahimah Noor Muhamad, 43, bapa, Amir Ruddin Ismail@Ahmad, 46, serta empat beradik mereka yang terbabit dalam nahas.

"Nak tak nak, kami kena sambut juga Aidilfitri kali ini. Kami tidak menyangka pengakhiran sebegini, bayangkan beraya tanpa enam insan tersayang di sisi.

"Memang diakui sukar bagi kami berdua beraya tanpa mereka. Kami amat rindukan masakan ibu di pagi raya, berkumpul di rumah nenek dan mendengar gelak tawa adik beradik lain.

"Kami tidak sangka beraya bersama mereka tahun lalu adalah yang terakhir. Tidak terlintas di fikiran," katanya.

Menurutnya, tahun lalu, mereka hanya dapat berkumpul bersama pada hari raya ketiga memandangkan bapanya perlu menjalankan tugas sebagai imam di Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang terlebih dahulu.

Abdur Rahman berkata, kali ini mereka akan menyambut Aidilfitri di rumah nenek bapa di Kampung Batu Kapur, Temerloh, Pahang.

"Tahun ini giliran keluarga kami beraya di Pahang.

"Walaupun kepulangan tanpa ibu bapa dan adik beradik lain, kami harap sambutan kekal seperti mana mereka ada bersama tahun sebelumnya," katanya.

Sementara itu, Abdullah yang semakin pulih sejak koma akibat kemalangan berkenaan mengakui dia kerap teringatkan keenam-enam ahli keluarganya.

"Biasanya kalau hendak tidur, saya teringat wajah mereka, wajah penuh senyum, ketawa dan saya terlalu merindui mereka.

"Saya harap sambutan kali ini seperti biasa, saya kena kuat. Kalau rindukan mereka, saya akan berdoa semoga mereka tenang di sana," katanya.

Dalam pada itu, ibu saudara, Nora Hila, 37, yang juga adik arwah ibu mereka berkata, rendang, lemang kuah kacang serta kari ayam kampung menjadi pilihan keluarga terbabit setiap kali Syawal tiba.

"Arwah kakak sering menjadi peneman di dapur setiap kali membuat persiapan menyambut Aidilfitri. Kami sentiasa bergurau sambil memasak juadah raya.

"Tapi kali iniberbeza, sebab itu, kami minta semua adik beradik beraya di sini, kalau tidak suasana jadi sepi," katanya.

Kemalangan jam 6.30 petang, 1 September tahun lalu, meragut nyawa ibu, bapa serta empat adik beradik Abdur Rahman iaitu Fatimatuzzahra, 17, Seri Khadijah Aqilah, 14, Rufaidatul Ansyariyah, 10, dan adik bongsunya, Muhammad Assyakrawi, 5.

Nahas di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan ketika keluarga terbabit dalam perjalanan menghantar Norahimah yang juga guru Sekolah Agama Semedak ke Segamat.

Hanya Abdullah terselamat dalam tragedi itu namun bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Segamat selepas parah di kepala dan badan.

Jenazah enam beranak itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong, Parit Jawa.

Disiarkan pada: April 9, 2024 @ 12:00pm
d