utama

'Walaupun berubah rupa paras, saya tetap ikhlas terima awak'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuantan: "Wajah suami memang berubah tidak seperti kali pertama saya mengenalinya ketika berusia 13 tahun tetapi apa yang pasti orangnya masih sama dengan sikap baik yang bertanggungjawab, lebih matang dan mengambil berat.

"Semua itu memikat hati saya yang lebih memandang hatinya berbanding rupa paras dan saya ikhlas menerima suami dalam hidup ini sejak lapan tahun perkahwinan kami hingga ke akhir hayat kami," kata Nooraini Syazwanie Sidik.

Nooraini Syazwanie, 32, atau lebih dikenali sebagai Wanie Sidik adalah wanita yang mendapat perhatian selepas berkongsi video dirinya dan suami, Mohd Shahmi Salimie yang dikahwini pada 2016 kerana wajah lelaki itu mempunyai kelainan di bahagian hidung hingga menarik perhatian netizen untuk mengetahui kisah pasangan berkenaan.

Perubahan wajah Mohd Shahmi selepas terbabit kemalangan ketika berusia 18 tahun apabila motosikal ditunggangi berlanggar dengan kereta menyebabkan tulang hidung, pipi kiri serta kanannya patah dan cedera parah.

Perkongsian itu meraih pujian netizen yang memuji Wanie dan Mohd Shahmi saling menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing, malah ada netizen mengakui pasangan itu juga membuka mata untuk lebih mensyukuri nikmat Allah SWT.

Berkongsi kisahnya, Wanie berkata, dia dan suami berkenalan ketika di tingkatan satu serta berkawan lebih rapat setahun sebelum terputus hubungan selepas mereka masing-masing berpindah.

"Zaman remaja biasalah ada 'cinta monyet' sebelum kami terputus hubungan beberapa tahun selepas saya berpindah sekolah dan kembali berhubung ketika berusia 18 tahun selepas saya dapat berita suami kemalangan dan cedera.

"Kami hanya berhubung selama dua tahun di telefon dan media sosial sebelum saya pulang ke kampung di Kuantan. Ketika itu saya jemput Shahmi datang ke rumah untuk beraya dan itu kali pertama saya jumpa dia dengan 'wajah' baru.

"Ketika melihat gambar suami memang terkejut juga dengan perubahan itu tetapi saya tidak kisah dan selesa berkawan dengannya. Apabila suami cakap dia suka dan mahu kembali menjalin hubungan lebih serius, saya terima dengan ikhlas.

"Biarpun wajahnya tidak sama seperti dulu tetapi bagi saya dia seorang lelaki yang baik sebelum akhirnya kami mengambil keputusan berkahwin dan kini dikurniakan dua cahaya mata," katanya kepada Harian Metro.

Katanya yang menetap di Jalan Pekan Kuantan, di sini, suami adalah cinta pertamanya dan mengakui perasaan sama hadir selepas dia bertemu semula dengan suami, malah keluarga juga merestui hubungan mereka serta menerima suami.

"Suami saya tidak romantik tetapi dia sangat mengambil berat dan menggunakan cara yang lembut untuk menegur kesalahan selain dia juga sentiasa menyokong saya. Saya tidak pandang rupa paras kerana ia tak kekal sebaliknya hati budinya.

"Sebab itu apabila ada yang pernah tanya adakah betul saya memilih suami untuk hidup bersama saya abaikan saja kerana yang hidup bersama itu adalah saya dan alhamdulillah setakat ini suami menjaga saya dan anak dengan baik," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Wanie berkata, sebelum ini dia tidak pernah berkongsi mengenai suaminya di media sosial atas permintaan lelaki itu sehingga ada netizen yang menganggap pasangan konten videonya adalah suaminya.

"Suami memang selalu ikut saya pergi mana saja dan orang sangka dia hanya juruvideo saya atau editor video saja. Apabila saya kongsi dia adalah suami saya memang ramai yang berminat mahu tahu mengenai wajahnya dan kami juga sudah bersedia dengan perkara itu.

"Kami terangkan dalam beberapa video dan tak sangka pula ia akan mendapat perhatian ramai. Saya tidak pernah malu atau segan nak kongsi gambar suami atau video bersamanya tetapi menghormati permintaannya," katanya yang juga pencipta kandungan, juruhebah sambilan dan penyanyi sambilan.

Sementara itu, Shahmi berkata, dia bersyukur dan terharu isteri serta keluarga mentua menerima dirinya dengan baik, malah mengakui kesedihan dilalui 14 tahun lalu selepas melalui episod duka 'kehilangan' wajah asal bagaikan diganti dengan kehadiran Wanie dan dua anak mereka.

Katanya, dia terbabit kemalangan selepas tiga hari mendaftar di sebuah politeknik dan kejadian itu menyebabkan dia perlu menjalani tiga pembedahan termasuk mengantikan tulang hidung dengan bahagian tulang rusuknya, namun kecederaan itu menganggu pernafasannya.

"Selepas tiga hari tidak tengok cermin dan pergi tandas saya rasa dunia saya berpusing selepas melihat 'wajah baru'. Saya memang rasa sedih dan rendah diri serta tidak ada keyakinan diri dengan wajah baru itu tetapi saya sentiasa cuba positif.

"Saya bersangka baik dengan Allah dan fikir mungkin dengan wajah baru ini saya menjadi orang yang lebih baik. Sekarang semua rasa itu sudah berkurang dan paling penting saya bersyukur Wani terima saya dengan ikhlas," katanya.

Katanya, dia sudah biasa apabila orang selalu memandangnya ketika berada di luar dan mengakui ia tiada masalah cuma dia mengakui hatinya terusik apabila ada kanak-kanak yang selalu bertanya mengenai hidungnya tetapi tidak berasa marah.

"Selain itu ada juga orang tanya mengenai hidung saya ketika di hadapan ramai orang mungkin dia mahu tahu tetapi dalam tak sedar caranya mengguris hati kami," katanya memberitahu anak mereka tidak pernah bertanya mengenai hidungnya.

Disiarkan pada: April 12, 2024 @ 4:31pm
d