utama

Gaya imej luar kotak

Oleh Zaara Talita

KEAMPUHAN jenama anak seni bernama Aina Abdul, 30, tidak dapat dinafikan lagi.

Bijak menyesuaikan vokal dalam lagu, Aina bukan hanya memiliki kekuatan vokal luar biasa, tetapi penampilannya juga menjadi pengaruh kuatnya untuk dikenali dalam industri muzik tempatan.

Fesyen

pelik dengan penataan gaya eksentrik dan perlu nampak ekstravaganza bukan lagi sesuatu yang asing buat Aina atau pemilik nama penuh, Nurul Aina Abdul Ghani ini.

Sejak awal tampil dengan gaya imej luar kotak, khalayak umumnya mudah terpukau dengan keberanian Aina menggayakan imej sebegitu.

"Saya suka berfesyen. Walaupun pakaian atau gaya saya disamakan dengan apa-apa saja, saya anggap sebagai gurauan. Malah, saya hanya anggap gaya itu sebagai bentuk interaksi dengan peminat.

"Gurauan itu yang mendekatkan saya dengan peminat dan saya mengambil pendekatan untuk tidak melenting atau marah apabila 'diparodi' oleh netizen.

"Tidak dinafikan di awal pembabitan, saya banyak mengikut saranan dan permintaan daripada pihak tertentu. Namun, saya lebih bebas untuk menzahirkan seni dalam bentuk fesyen," katanya.

Hampir sedekad bertatih mencari peluang membina nama dan mengetengahkan bakatnya dengan penuh kesabaran, Aina sekarang sudah mampu menghela nafas lega.

Jika pada 2019, dia popular dengan lagu ciptaannya berjudul Sumpah yang menjadi 'pembuka jalan' buatnya mula meraih populariti, tahun lalu dia memperkukuhkan pula dengan kehadiran lagu Semalam.

Aina yang dilahirkan di Kuala Pilah dan dibesarkan di Seremban, Negeri Sembilan memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang muzik kontemporari dari Universiti UCSI Kuala Lumpur.

Anak bongsu daripada lima beradik ini memulakan kerjaya sebagai penyanyi di kelab malam, restoran dan lounge termasuk No Black Tie.

Aina kemudian terpilih sebagai salah seorang finalis Pertandingan Irama 1Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 2010 dan memenangi tempat kedua, Bintang Idola BH, setahun kemudian.

Pada

2014, Aina terpilih menyertai program realiti terbitan TV3, Mentor Legend dan menjadi anak didik Ratu Rock, Ella serta muncul naib juara.

Aina pernah mewakili Malaysia di World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2014 di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan menang dalam kategori Vocalist of the World.

Dalam perkembangan terbaharu, selain muncul dengan lagu Jalan-Jalan Hari Raya, Aina kini sibuk membuat persiapan untuk konsert bersama Malaysian Phiharmonic Orchestra (MPO) yang dijadual berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada 11 dan 12 Mei depan.

"Saya macam tak percaya dan takut nak menyanyi. Perasaan sangat gemuruh sebab menyanyi dengan orkestra sangat berbeza. Sama juga dengan cara penyampaian dan teknik.

"Saya diingatkan konduktor untuk menyanyi set lagu berbeza, bukan seperti yang pernah saya bawa. Maksudnya, saya kena lebih tumpu perhatian di setiap nada dalam lagu," katanya.

Pada persembahan di DFP, Aina bakal mendendangkan 16 lagu yang kebanyakannya dipetik daripada album sulung berjudul Imaji.

Disiarkan pada: April 16, 2024 @ 6:00am
d