utama

Setiap pelukan mak, mengalir rasa cinta

Oleh Muhammad Zulhelmi Zainuddin

Cukup. Semuanya serba-serbi cukup. Apa yang cukup? mak. Sosok utama yang paling sibuk setiap kali raya menjelang tiba.

Maklah yang mencari baju raya, mak juga yang berketang-ketung di dapur demi memastikan perut kami sekeluarga terisi.

Kalau diikuti trend semasa, mak memang 'tak kosong.' Aip! Kami sekeluarga tak berpangku tangan. Apabila tiba saat nama seorang demi seorang dilaungkan mak, pasti semua bertempiaran datang. Mana taknya, mak lagi garang dari harimau!

Biasanya, mak yang tentukan warna baju raya kami. Kalau boleh warna yang dipilihnya seterang mentari, tak padan dengan tona kulit keturunannya yang sawo matang ni.

Tetapi memang sudah terpatri dalam jiwa kami, setiap permintaan mak kami ikuti tanpa ragu, yakin bahawa di sana tersembunyi kebaikan terbaik untuk kami.

Nah, memang betul. Ramai yang memuji.

Usah disebut pasal makanan. Mak memang juara. Dari pastri ke kulinari, semua mak 'tapau.' Semua yang mak buat pasti menjadi. Tak hairanlah orang berbondong-bondong datang ke rumah kecil kami.

Padat tak terkata, sampai rasanya rumah batu ini, kalau kayu, mungkin roboh. Tapi itulah yang dirindui selalu. Rindu nak basuh pinggan tanpa henti. Rindu nak tengok set pinggan mangkuk yang berkurun di dalam almari dikeluarkan mak sambil tersenyum manis.

Waktu yang paling saya nantikan setiap kali raya menjelang, sesi bersalam-salaman dengan ahli keluarga pada pagi raya.
Masih diberikan kesempatan ketika itu untuk mendakap tubuh wanita kuat ini seerat-eratnya. Di setiap pelukan, mengalir rasa cinta dan kasih yang dibawanya setiap masa. Waktu itu kami memang polos dan suci, minta maaf bagai nak gila tapi keesokannya, naik kepala semula. Apa nak dikata, selagi tak hilang di depan mata.

Dalam gembira, tersematlah duka. Mak, pergi untuk selamanya. Tinggallah memori yang terpahat elok dalam sanubari yang merindukannya setiap masa. Kita sudah berlainan dunia namun amanatnya tetap kami junjung di dalam langkah kami di setiap perjalanan yang bakal ditempuh jua. Terima kasih atas luhurnya tunjuk ajar dan kasih sayang mak kepada kami. Alangkah indahnya jika mak masih disisi. Selamat Hari Raya, mak.

Disiarkan pada: April 16, 2024 @ 7:03am
d