utama

Pengawal peribadi mangsa tembak stabil, selesai jalani pembedahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pengawal peribadi yang ditembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Selangor, selesai menjalani pembedahan di Hospital Cyberjaya, hari ini.

Isteri mangsa, Siti Noraida Hassan, 38, berkata, suaminya, Muhammad Nur Hadith Zaini, 38, dimasukkan ke bilik bedah jam 11.30 pagi, dan pembedahan selesai pada 4.30 petang.

"Pembedahan membabitkan bahagian usus yang memerlukan pemantauan antara lima hingga enam hari, manakala buah pinggang suami mungkin memerlukan dialisis sementara.

"Bahagian limpanya juga ada sedikit kecederaan. Suami dalam keadaan tidak sedar, namun keadaannya agak stabil buat masa ini.

"Doakan suami saya pulih sepenuhnya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan suspek, Hafizul Harawi, 38, yang disyaki melepaskan tembakan di lokasi terbabit ditahan, semalam, selepas lebih 36 jam melarikan diri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan tangkapan itu memaklumkan suspek ditahan jam 2.30 petang, semalam, di sebuah lokasi di Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berusia 38 tahun cedera selepas ditembak oleh suspek yang mahu melepaskan dua dasa tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Bagaimanapun, satu tembakan itu tersasar, manakala satu lagi tembakan mengenai pengawal peribadi isterinya yang berada di lokasi kejadian.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian perut dan dilaporkan dalam keadaan kritikal dengan ditidurkan akibat kecederaan terbabit.

Disiarkan pada: April 16, 2024 @ 7:29pm
d