utama

Anak KPD Lahad Datu maut akibat tembakan di dada

Oleh Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Bedah siasat dijalankan ke atas anak perempuan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, hari ini mendapati punca kematian remaja berusia 14 tahun itu berpunca daripada satu das tembakan di bahagian dada.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Shahurinain Jais berkata, keputusan itu diperoleh selepas proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Lahad Datu, selesai hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati hanya satu das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan tembakan berkenaan terkena pada bahagian dada kanan mangsa.

"Terdapat luka tembak pada dada kanan yang mengenai organ paru-paru dan tembus di bahagian belakang badan.

"Hasil bedah siasat merumuskan kematian mangsa adalah disebabkan luka tembakan pada bahagian dada," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Shahurinain memaklumkan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut atau SDR selepas siasatan mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kes ini.

Selain itu, katanya polis turut merampas sepucuk pistol semi automatik jenis Walther P99 yang dikaitkan dengan insiden berkenaan.

Shahurinain turut memaklumkan, tiga saksi sudah memberi keterangan untuk membantu siasatan polis namun beliau enggan mendedahkan identiti mereka.

Terdahulu, anak perempuan KPD Lahad Datu maut dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Mangsa berusia 14 tahun itu ditemui oleh kakaknya yang berusia 16 tahun dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumah mereka, pada 12.42 tengah hari, semalam.

Disiarkan pada: April 17, 2024 @ 4:54pm
d