utama

TLDM dedah 10 nama mangsa nahas helikopter

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Pegawai Memerintah Skuadron 502 dan Skuadron 503 adalah antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumur, Perak pagi tadi.

TLDM dalam kenyataan berkata, mereka ialah Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli dan Komander Muhamad Amir Mohamad.

Katanya, dua pegawai berpangkat Leftenan Komander turut terkorban, masing-masing Allahyarham Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin dan Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi.

"Selain itu, mangsa yang terkorban ialah mendiang Leftenan T Sivasutan; Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

"Nahas turut mengorbankan tiga penumpang, masing-masing Pegawai Waran II TNL, Noorfarahimi Mohd Saedy; Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar; Laskar Kelas I JJM, Joanna Felicia anak Rohna," katanya, hari ini.

Dalam pada itu, TLDM turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, selain memaklumkan pengurusan jenazah akan dilaksanakan dalam masa terdekat mengikut tradisi tentera laut.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan nahas dua helikopter TLDM bertembung ketika raptai lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada jam 9.03 pagi tadi.

Nahas itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis HOM-AW139 dan Fennec yang berlepas dari Padang Sitiawan, Perak.

Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.

Pesawat HOM-AW139 terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Rentetan kejadian itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, menyifatkan nahas terbabit sebagai insiden yang amat malang.

Berita Berkaitan

'Abang hubungi ibu, ayah sebelum kejadian berlaku'

'Selepas ini mereka mungkin balik awal selalu' - Skuadron 503

Rakan menangis, sedih terima berita nahas helikopter

Anggota TLDM terbabit nahas helikopter beri bayangan Aidilfitri terakhir

Salah seorang mangsa suami sepupu Eyra Hazali

Helikopter TLDM terlibat dalam tiga kali raptai sebelum terhempas

Agong zahir takziah

Kementerian Pertahanan pertimbang semula penganjuran Sambutan Ulang Tahun TLDM

TLDM tubuh Lembaga Siasatan

Mangsa nahas helikopter TLDM dikenal pasti

2 helikopter dinaiki 10 kru

10 dilaporkan terkorban

Dua helikopter terhempas selepas berlanggar di udara

Disiarkan pada: April 23, 2024 @ 4:21pm
d