utama

KWSP distruktur kepada tiga akaun mulai 11 Mei

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Mulai 11 Mei ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat Penstrukturan Semula Akaun bagi pencarum berusia 55 tahun ke bawah kepada tiga iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan dan Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.

Selain itu, Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Semua caruman selepas 11 Mei akan diperuntukkan ke akaun baharu mengikut pecahan iaitu 75 peratus untuk Akaun Persaraan serta 15 peratus dan 10 peratus masing-masing dalam Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, inisiatif itu bertujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup pencarum.

Katanya, fokus utama inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP ini untuk memperkasa pencarum dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

"Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak," katanya dalam kenyataan mengumumkan inisiatif terbaharu KWSP hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain berkata, inisiatif ini bukan sekadar tindak balas KWSP terhadap keperluan semasa, namun langkah proaktif untuk membantu ahli menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP.

"Dengan penambahbaikan ini, KWSP berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar ini," katanya.

Katanya, pencarum boleh mengakses sistem berkenaan sepenuhnya pada 12 Mei ini.

Disiarkan pada: April 25, 2024 @ 12:06pm
d