utama

Kemarau Piala Thomas berpanjangan

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Hasrat skuad Piala Thomas negara untuk menghidupkan perjuangan ke final tidak kesampaian apabila beregu kedua negara tewas dalam perlawanan keempat sekali gus menyaksikan China ke final.

Dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China menewaskan Malaysia 3-1 untuk ke pentas akhir dan berpeluang untuk memburu kejuaraan ke-11 untuk mereka.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bermula dengan begitu baik untuk menang set pertama namun tewas di set kedua untuk mengheret bermain di set penentuan.

Di saat kedua-dua pasangan memerlukan mata, beberapa kesilapan dari pasangan negara menyaksikan mereka terpaksa berputih mata tewas 21-18, 19-21,12-21.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia perlu menerima hakikat gagal ke pusingan akhir dan kemarau kejuaraan Piala Thomas terus berpanjangan.

Dalam aksi final esok, China akan turun bertemu Indonesia yang berjaya menewaskan Taiwan 3-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Terdahulu, pemain perseorangan lelaki pertama negara, Lee Zii Jia tewas 19-12, 5-21 dalam perlawanan pertama kepada Shi Yu Qi sebelum gandingan utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menewaskan beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang 15-21, 21-12,21-17.

China kembali mendahului 2-1 selepas pemain perseorangan kedua mereka, Li Shi Feng mudah menewaskan, Leong Jun Hao 17-21, 10-21.

Disiarkan pada: May 4, 2024 @ 9:10pm
d