utama

'Super Duper Raya' angkat mesej solidariti rakyat Palestin

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Di sebalik kemeriahan (Aidilfitri di negara ini), ada bom di sana. Perang yang sebenar." Itu antara mesej ditekankan dalam video muzik Super Duper Raya nyanyian kumpulan pemuzik dikenali MARIONEXXES.

Lagu ciptaan komposer Othman Mohamed yang juga pencipta lagu Pulanglah nyanyian Datuk Aishah itu mendapat perhatian warganet baru-baru ini kerana mengangkat mesej solidariti terhadap rakyat Palestin yang menderita akibat perang ketika umat Islam di negara ini bergembira meraikan Aidilfitri.

Abdul Wahid Abdul Halim, 41, atau dikenali Prof Piko selaku penyanyi dan penulis lirik bersyukur dengan sambutan baik diterima sejak lagu berkenaan dimuat naik di platform digital pada malam raya lalu.

Bagaimanapun, kepuasannya adalah apabila mesej disampaikan menjentik hati pendengar.

"Saya sedar ramai yang masih dalam mood beraya dan teruja menghadiri jemputan rumah terbuka walaupun Aidilfitri hampir melabuhkan tirainya.

"Tapi jangan kita lupakan nasib saudara Islam di Palestin dan kesannya kepada ekonomi akibat konflik global iaitu peperangan di Gaza. Atas sebab itu, saya bersama komposer, Othman Mohamed cuba sampaikan mesej menerusi lagu Super Duper Raya bahawa pentingnya bersederhana dalam situasi sekarang walaupun kita semua tahu raya itu sebulan.

"Ini kerana jutaan umat Islam di Palestin masih menderita akibat perang yang tidak berkesudahan. Jadi, besar harapan kami bahawa mesej cuba disampaikan iaitu bersederhana dalam beraya dan menunjukkan empati serta solidariti kepada mereka yang terkesan akibat perang dan konflik," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Abdul Wahid berharap, lagu itu akan dapat menghidupkan semangat solidariti dan kasih sayang kepada saudara Islam di Palestin.

"Dalam kita bergembira meraikan Syawal yang berbaki empat hari lagi, jangan pernah alpa untuk salurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa kekejaman Zionis di Palestin.

"Jika bukan wang ringgit, memadai dengan sokongan moral dan sumbangan saya adalah menerusi penulisan lirik," katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2024 @ 8:46pm
d