utama

Kembalikan semula!

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Tiada kompromi ! Tanah rizab Melayu perlu dikembalikan semula kepada pihak yang benar dengan menggunapakai Seksyen 380 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 bertujuan mengelak situasi tidak aman tercetus dalam negara.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kepentingan mengekalkan Tanah Rizab Melayu (TRM) perlu dilihat dari aspek keselamatan berhubung isu kepentingan Tanah Melayu supaya ia dilihat lebih jelas dan berstruktur.

Menurutnya, aspek milikan dan keseimbangan pegangan TRM perlu terus dipelihara dan juga dikekalkan.

"Semua pihak perlu memainkan peranan dan percambahan idea supaya TRM terus dipelihara khususnya di kawasan strategik yang mampu menaikkan ekonomi Melayu.

"Ini bagi memastikan sentimen dan persepsi negatif tidak dijadikan modal bagi merosakkan keamanan antara kaum serta keselamatan negara," katanya, semalam.

Menurutnya, isu kehilangan TRM ini kepada pemilik bukan Melayu secara tidak sah adalah isu sensitif yang boleh mencetuskan kekeliruan dan rasa tidak puas hati berkaitan kepentingan orang Melayu.

Metro Ahad semalam mendedahkan berlaku kehilangan TRM kepada kaum lain membabitkan nilai berbilion ringgit di seluruh negara.

Berdasarkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berlaku kelemahan pada sistem perisian pada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum ini yang membolehkan status TRM dipadamkan.

Susulan beberapa laporan diterima, SPRM kini melakukan siasatan terhadap kakitangan kerajaan yang disyaki terbabit dengan isu penyelewengan TRM.

Sementara itu, Penyelidik dan Pengkaji Sejarah, Institut Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman sebelum ini pernah mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Kementerian Khas Tanah dan Hak Pribumi.

Menurutnya, salah satu Wasiat Raja-Raja Melayu ialah berkenaan tanah yang kemudian termaktub dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan.

"Menerusi peruntukan itu telah ditetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan Semenanjung Tanah Melayu adalah terdiri daripada Tanah Rizab Melayu.

"Penubuhan kementerian ini sangat penting bagi memudahkan perancangan dan pembangunan secara holistik Tanah Rizab Melayu yang turut merangkumi aspek komersial," katanya.

Beliau turut membangkit isu berikutan sebahagian Tanah Rizab Melayu di negeri-negeri tertentu berada jauh di pedalaman termasuklah hutan.

Katanya, walaupun dari segi peratusan keluasan Tanah Rizab Melayu itu tinggi, namun timbul persoalan sudut nilainya atau komersial.

Disiarkan pada: May 6, 2024 @ 7:05am
d