vroom

Klon Daihatsu Move

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Perodua atau Daihatsu Move? Inilah persoalan yang sering ditanya sesetengah peminat kereta modifikasi sejurus melihat jentera pilihan Vroom kali ini.

Sebenarnya jentera ini adalah sebuah kereta kompak tempatan iaitu Perodua Kenari yang disalin keseluruhan komponennya kepada jentera buatan Jepun, Daihatsu Move.

Kenari adalah kereta keempat keluaran syarikat pengeluar kenderaan kedua nasional, Perodua yang bersesaran 989cc manakala Daihatsu me­ngeluarkan model Move pertamanya iaitu L600 pada 1995 yang bernadikan enjin turbo dan generasi kedua Move L900 yang menyerupai Kenari menjadi kegilaan penggemar kereta kompak di Malaysia.

Di pasaran Malaysia, Perodua Kenari pada awalnya diperkenalkan dengan beberapa varian, namun model Aero dan RS adalah terbaik yang pernah dikeluarkan oleh Perodua.

Menjengah jentera milik Mohd Asral Mohd Said, 30, ternyata ia ‘klon’ Daihatsu Move L900. Ini kerana keseluruhan komponen luaran dan dalamannya disalin dengan aksesori jentera Jepun itu sehingga meneng­gelamkan rupa asalnya.

Bermula daripada enjin, jentera ini menggunakan enjin asal Daihatsu Move L900 bersesaran 660cc. Biarpun sesaran L900 tampak rendah, namun ia dilengkapi sistem kuasa turbo jauh lebih berkuasa daripada enjin asal bersesaran 989cc.

Selain itu, sistem kuasa disokong ekzos saluran terus binaan khas. Melihat kepada sudut luaran ternyata keseluruhan kit badan termasuk lampu, bonet, bampar dan cermin jentera, semuanya menggunakan komponen Daihatsu Move RS.

Begitu juga dalaman jentera apabila papan pemuka, sistem pemanduan, kerusi dan sebagai­nya disalin kepada komponen jentera Jepun itu.

Sedikit keunikan yang ditampil pemilik pada jenteranya adalah penambahan tiga meter pel­bagai fungsi pada papan pemuka serta bumbung matahari berkembar Renault yang memberi ‘markah tambahan’ kepada jentera ini.

Gaya jentera ini semakin terserlah apabila pemasangan rim bersaiz 15 inci SSR Pepsi dengan balutan tayar Falken.

Menurut pemilik bengkel Arai Garage di Parit Buntar, Perak, dia bersyukur apabila komponen Daihatsu Move kini sangat mudah didapati di kedai potong dan harga jauh lebih murah berbanding 10 tahun lalu.

Mohd Asral berkata, dia hanya mengeluarkan modal sekitar RM10,000 untuk membeli keseluruhan komponen import terbabit dan pemasangan serta sistem pendawaian dilakukannya sendiri bersama beberapa pekerjanya.

INFO

PERODUA KENARI RS 2002

• Enjin Daihatsu Move L900 660cc turbo

• Kit badan Daihatsu Move

• Papan pemuka Daihatsu Move

• Stereng Daihatsu Move

• Kerusi Daihatsu Move

• Bumbung matahari berkembar Renault

• Rim 15 inci SSR Pepsi

• Tayar Falken

• Ekzos binaan khas

• Tiga meter tambahan

• Kos Modifikasi - RM10,000

Disiarkan pada: May 14, 2017 @ 12:00am
d