vroom

Kembalikan nostalgia

Oleh Lizam Ridzuan

Bagi mengembalikan nostalgia sub-budaya Mod yang popular di United Kingdom sekitar 1950-an hingga 70-an, satu acara berkonsepkan demikian diadakan baru-baru ini.

Kuala Lumpur Mods Mayday 2017 anjuran Kelab Skuter Modern Flashback (MFSC) memasuki tahun ke-15 penganjuran menggabungkan elemen skuter, fesyen dan muzik disertai peserta berpakaian dan gaya zaman 60-an.

Pengerusinya Adi Syakri Ismail berkata, acara tahunan itu bermula di Dataran Merdeka dengan kehadiran lebih 150 skuter klasik pelbagai model seperti Vespa dan Lambretta termasuk model terkini Scomadi.

“Sejak diadakan pada 2002, pelbagai golongan peringkat usia me­nyertai acara dan tahun ini kami berkonvoi menuju Sri Hartamas dengan penyertaan peminat dari Indonesia, Thailand dan Singapura,” katanya.

Acara diadakan pada Mei setiap tahun itu bukan sahaja mengumpulkan pelbagai rekaan unik skuter, malah fesyen peserta menghidup­kan lagi suasana.

Seorang peminat dari United Kingdom, Simon Antro, 41, berkata, dia yang tinggal dan bertugas di negara ini lebih enam tahun memiliki empat Vespa kerana menghargai seni dan rekaannya.

“Saya aktif menyertai konvoi dan pernah menung­gang bersama kumpulan ini ke Kuala Kangsar bagi menyertai Karnival Royal Town Vespa & Motor Klasik 2017,” katanya yang membelanjakan RM20,000 untuk sebuah skuter.

Seorang lagi yang aktif bersama kumpulan itu Farah Mat, 23, penuntut Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang memiliki sebuah Vespa moden bagi kegunaan ke kuliah.

“Saya suka menung­gang skuter kerana ia mudah dikendalikan dan pada masa sama peluang menyertai acara ini boleh menggayakan fesyen gaya vintaj untuk tampil unik,” katanya yang berasal dari Ampang.

Adi Syakri berkata, tahun ini lebih 300 orang berkumpul di Sri Hartamas dengan pel­bagai aktiviti diadakan bagi semua peminat skuter serta fesyen berkumpul untuk bertukar-tukar idea dan pandangan.

“Selain konvoi, kami juga pernah mengadakan pameran budaya mod sebagai satu inisiatif menarik lebih ramai golongan menghargai dan menghayati seni ini,” katanya.

Kemuncak sambutan diakhiri de­ngan persembahan muzik daripada The WooHoo, Moda Moody, The Strike dan The Union sebagai pelengkap acara.

Disiarkan pada: May 21, 2017 @ 5:48am
d