vroom

Honda ganti inflator beg udara

Honda Malaysia melanjutkan tempoh penarikan semula 419 unit Civic Type-R untuk menggantikan inflator beg udara Takata pemandu dan penumpang hadapan.

Langkah itu sebahagian langkah proaktif ber­terusan Honda Malaysia bagi memastikan keselamatan pelanggan. Namun, penggantian itu hanya membabitkan model dikeluarkan sepanjang 2007, 2008 dan 2010.

Terdahulu, Honda Malaysia menegaskan semua model jualan semasa tidak terjejas dan pihaknya akan terus mengamalkan ketelusan dan kawalan ketat bagi memastikan keselamatan pelanggan.

Pengeluar kenderaan terkenal Jepun itu memberi jaminan keselamatan adalah keutamaannya dan kesal terhadap kesulitan dialami pelanggan.

Kepentingan menggantikan inflator Takata yang rosak perlu dilakukan segera berikutan tekanan dalaman berlebihan, sebaik diaktifkan, akan menyebabkan beg udara pecah dan boleh mengakibatkan kecederaan atau kematian terhadap pemandu serta penumpang.

Semua pelanggan terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan dan perlu bersegera ke pusat Honda berdaftar terdekat untuk pemeriksaan dan penggantian. Honda Malaysia akan menanggung kos alat ganti dan caj buruh berkaitan dengan penarikan balik ini.

Pemilik boleh menyemak status kenderaan mereka yang ditarik melalui laman web www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my atau menghubungi talian bebas tol Honda 1-800-88-2020.

Pemilik juga boleh mengunjungi pusat servis Honda berdaftar atau mana-mana Stesen Petronas terpilih.

Honda Malaysia akan terus memberi peringatan dan memaklumkan kepada pelanggan mengenai kepentingan menggantikan inflator beg udara model yang terjejas.

Disiarkan pada: May 21, 2017 @ 5:48am
d