vroom

Enjin lebih lancar

Oleh Lizam Ridzuan

Bahan api terbaru Shell yang diperkenalkan baru-baru ini menawarkan teknologi Dynaflex sesuai untuk semua jenis kenderaan baru atau lama serta bagi sebarang tujuan perjalanan.

Semua bahan api merangkumi Shell FuelSave 95, Shell V-Power 97, Shell V-Power Racing, Shell FuelSave Diesel dan Diesel Euro 5 kini dilengkapi teknologi yang membantu mengurangkan geseran enjin serta molekul nyah kotoran baru dan boleh didapati di semua stesen di seluruh negara.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain berkata, enjin moden kini makin mengecil menyebabkan bahan api lebih terdedah kepada keadaan dan tekanan lebih lasak yang boleh menjejaskan prestasi serta kecekapan enjin.

“Kajian dan pembangunan selama lima tahun dengan jarak ujian lebih tiga juta kilometer adalah usaha kami dalam menjadikan enjin sama ada model terkini ataupun lama dilindungi sepenuhnya bagi memastikan perjalanan lancar dan berterusan,” katanya ketika pelancaran.

Teknologi Dynaflex berupaya membersihkan komponen dalaman enjin seperti injap dan pancitan bahan api manakala untuk diesel, ia dilengkapi formulasi mengurangkan kandungan sulfur.

Untuk petrol V-Power, ia diformulasi dengan lebih tiga kali molekul pengurangan geseran daripada FuelSave 95 dan 20 peratus molekul pembersih berbanding sebelumnya.

Bagi bahan api V-Power Racing adalah yang digunakan untuk pasukan Scuderia Ferrari dalam perlumbaan Formula 1 dengan 80 peratus formulasi membantu penyingkiran deposit yang menghalang enjin beroperasi pada tahap maksimum.

Selain untuk pengguna kenderaan di jalan raya, Dynaflex juga disediakan bagi kegunaan industri dan komersial dengan salah satunya ialah perkhidmatan feri Pulau Pinang.

Shell juga bekerjasama dengan Universiti London bagi mengkaji sikap pemandu di negara ini dengan teknologi dan aplikasi terkini memantau lebih 2,500 perjalanan kenderaan di Kuala Lumpur untuk tujuan pembangunan produk masa hadapan.

Disiarkan pada: May 21, 2017 @ 5:48am
d