vroom

Yamaha R6 gaya Rossi

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Pengaruh dan peminat Valentino Rossi menular ke seluruh dunia dan bagi peminat fanatik pelumba kelahiran Itali itu, sudah pasti mahu mengabadikan sesuatu bertemakan wataknya.

Daripada pakaian, topi keledar, aksesori motosikal dan sebagainya, pastinya angka keramat ‘46’ tertera pada setiap barangan terutama motosikal.

Namun ada peminat yang sanggup menghabiskan wang mengabadikan tema pasukan Movistar dan angka 46 pada jentera kesayangan mereka.

Pemilik motosikal Yamaha R6 dari Ipoh, Khaireel Helmy Ismail, 36, atau lebih mesra dengan panggilan Jebat, sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit bagi menaik taraf jentera miliknya kepada tema Yamaha Movistar lengkap dengan angka keramat 46.

Lebih menarik apabila tema pada coverset diolah melalui teknik cat semburan atau airbrush. Selain tema badan, pelbagai aksesori tambahan pada jentera ini dilakukan bagi menampakkan ia seolah-olah motor GP kegunaan litar.

Antara komponen paling menyerlah adalah bahagian belakang yang diubah suai dengan tempat duduk tunggal lengkap dengan lampu belakang di bawahnya.

Jentera binaan 2009 bersesaran 600cc ini masih mengekalkan enjin asal yang tidak diusik keasliannya.

Namun, sedikit pengubahsuaian ekzos asal ke jenama Over Racing menjadikan prestasi jentera dua roda ini lebih berkuasa.

Selain itu, pelarasan kawalan bahan api disalur melalui palam pencucuh NGK Iridium dan Steel Braided Hose manakala kawalan angin digalas sepenuhnya K&N Filter.

Bagi menghentikan jentera lincah ini, pad brek cakera asal ditukar ke jenama EBC untuk lebih cengkaman. Selain itu, tayar Conti Attack Racing Street digunakan bagi menampakkan gaya kegunaan litar. Pelbagai aksesori berprestasi ditambah pada jentera bagi menaikkan lagi imejnya.

Antaranya Body Slider Rizoma, pelindung angin Puig, Ohlins Damper, skru dan nat berkualiti tinggi Lightech, pendikit minyak Rizoma dan banyak lagi.

Menurut ahli kelab TXM dan pemilik bengkel Skyking 46 Sunway Ipoh ini, dia membelanjakan hampir RM20,000 untuk motosikalnya selain membuktikan dirinya peminat tegar Rossi.

SPESIFIKASI:

Yamaha R6 2009

- Airbrush Yamaha Movistar

- Body Slider Rizoma

- Pendikit minyak Rizoma

- Palam pencucuh NGK Iridium

- K&N Filter

- Ohlins Damper

- Rantai DID

- Brek pad EBC

- Sistem ekzos Over Racing

Kos modifikasi: RM20,000

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 1:27am
d