vroom

Isuzu D-Max memang jimat

Oleh Lizam Ridzuan

Terkenal dengan penggunaan bahan api efisien, satu aktiviti menguji tahap penjimatan bahan api trak pikap Isuzu D-Max untuk pemilik kenderaan itu diadakan di Sarawak baru-baru ini.

Anjuran Isuzu Malaysia Sdn Bhd (IMSB) Cabaran Dura-Miles 2017 membabitkan lebih 29 buah D-Max yang bermula di Taman Rekreasi Batu Kawah (MJC) menuju ke Sematan Palm Beach Resort dan kembali ke MJC dengan jarak laluan lebih 200 kilometer.

Perjalanan lebih empat jam itu menampilkan cabaran berbeza untuk pemandu yang menamatkan cabaran dengan penggunaan bahan api paling minimum dipilih sebagai pemenang.

Pengarah Eksekutif IMSB, Hajime Machimura berkata, program memfokus kepada nilai utama jenama Isuzu iaitu ketahanan, keupayaan dan kecekapan penggunaan bahan api dengan peserta perlu bijak menggunakan kelebihan trak mereka seperti dalam cabaran yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Trak D-Max melalui inovasi dan evolusi dari setahun ke setahun menjadikan ia pilihan kepada pengguna yang mementingkan prestasi, keselesaan, tahan lasak dan paling penting penjimatan penggunaan bahan apinya,” katanya ketika acara pelepasan.

Untuk rekod Cabaran Dura-Miles 2015 membabitkan tiga negara dalam tempoh empat hari perjalanan dengan satu isian penuh tangki diesel model ini berjaya mencatatkan jarak lebih 1,800 km dari Thailand melalui Malaysia dan ke Singapura.

Beliau berkata, program di Sarawak memberikan pengalaman sebenar pemilik dan peserta dengan cabaran yang menarik tetapi pada masa sama membuktikan pembelian trak Isuzu mereka adalah berbaloi.

Dua kategori dipertandingkan iaitu enjin D-Max 2.5 liter dan 3.0 liter dan untuk kategori 2.5 liter dimenangi oleh Jerry Anak Wan Jok mencatatkan jarak sejauh 208 km dengan hanya menggunakan 10.62 liter bahan api.

Bagi kategori 3.0 liter Ng Quek Peng dipilih sebagai pemenang dengan penggunaan sekitar 12.33 liter diesel bagi purata jarak yang sama.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 12:01am
d