vroom

Taruhan baru Honda

Oleh Lizam Ridzuan

Bakal menyambut ulang tahun ke-60 tahun ini, Boon Siew Honda (BSH) sebagai pengimport, pemasang utama dan pengedar motosikal jenama Honda di Malaysia akan memperkenalkan empat model baru untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.

Dua model baru yang diperkenalkan buat kali pertama manakala dua model lagi dipertingkatkan cirinya (facelift) dijangka merancakkan industri jentera dua roda tempatan serta menambah kepelbagaian model untuk pilihan pengguna.

Model itu dikategorikan sebagai Premium, Sporty dan Lifestyles bagi memenuhi golongan sasar yang memerlukan sebuah motosikal bagi tujuan kesesuaian gaya hidup dan tahap pendapatan mereka.

BSH kali pertamanya memperkenalkan CRF250 Rally dan CRF250L model 2017 diinspirasikan daripada CRF450 yang beraksi dalam Rali Paris-Dakar bawah kategori Sporty antara yang menarik buat penggemar tunggangan lasak menggunakan model dual-purpose.

Paling mencuri tumpuan ialah dalam segmen Lifestyle ialah Rebel 500, yakni model cruiser 471cc dengan enjin berkembar selari DOHC sejukan cecair yang mampu menghasilkan tork 45.8 Nm pada 5,500 rpm juga model paling baru Honda bakal menemui pengguna tempatan.

Dalam Premium, model NSS300 sebuah skuter berkuasa tinggi diperkenalkan sejak 2014 di Malaysia kini dengan warna biru baru antara pilihan yang terdapat dalam pasaran pada harga sekitar RM30,700.

Kategori Sporty dengan model CB650F dan CBR650F dipertingkatkan dengan beberapa ciri diperbaharui seperti prestasi enjin, warna baru dan lampu hadapan LED tampil agresif.

Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata berkata, beberapa perubahan dalam pasaran dilakukan bagi memenuhi piawaian dan permintaan pasaran termasuk sasaran kerajaan Malaysia yang mahu mencapai status negara maju pada tahun 2020.

“Selain menghasilkan motosikal dengan emisi Euro3, setiap model dipasangkan dengan nilai tambah sistem dan teknologi termoden terutama sistem brek yang terkini pada motosikal berkuasa tinggi,” katanya.

Awal minggu ini pihak media berpeluang menunggang uji model-model itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi merasai kelebihan dan prestasi setiap motosikal.

Tambah Nagata, harga bagi setiap model baru belum diputuskan dan selain yang diperkenalkan, BSH akan juga mengumumkan dua lagi model baru bagi memasuki pasaran tempatan pada Ogos dan September tahun ini sekali gus melengkapkan pilihan menarik untuk pembeli tempatan.

Paparan ini boleh disaksikan dalam segmen Vroom siaran TV9 hari ini, jam 12 tengah hari dan 8 malam.

Disiarkan pada: June 10, 2017 @ 11:10pm
d