vroom

Gabungan gaya dan prestasi

Oleh Lizam Ridzuan

Sejak model baru dilancarkan pada September lalu, Audi tahun ini melengkapkan varian A4 untuk pilihan pengguna di Malaysia.

Lima varian ditawarkan iaitu Audi A4 1.4 TFSI, Audi A4 2.0 TFSI, Audi A4 2.0 TFSI Tech pack, Audi A4 2.0 TFSI S line dan Audi A4 2.0 TFSI Quattro kini boleh boleh dipilih mengikut cita rasa pembeli.

Peluang memandu uji model 2.0 TFSI yang juga generasi kelima hadir dengan pembaharuan dari segi rekaan luaran yang mana saiznya lebih 25mm panjang dan 16mm lebih lebar, tetapi ringan 120 kilogram berbanding model terdahulu.

Walaupun perbezaan kurang ketara, setiap bahagian A4 diberi sentuhan baru seperti rekaan gril hadapan dilengkapi elemen sporty serta gril signatur Audi lebih lebar, rim aloi 17 inci, lampu nyalaan siang (DRL) daripada LED termasuk lampu hadapan dan belakang kini lebih menyerlah.

Sedan premium ini bukan sahaja model paling laris jualannya dengan menyumbang sekitar 30 hingga 40 peratus keseluruhan jualan di negara ini malah sebagai pencabar kepada segmen D jenama premium lain.

Apa yang menarik, cermin sisi dipadankan di atas bahu kereta dan bukan pada tiang A untuk lebih sporty sebagaimana yang sebelum ini hanya dilihat pada model Audi TT dan R8 selain meningkatkan ciri aerodinamik yang mendahului kelasnya.

Selain itu, ciri garis nipis untuk mempertingkatkan aliran udara, rekaan bootlid belakang, bahagian bawah enjin ditutup dan gandar belakang dinaikkan secara minimum untuk kemasan yang terbaik dalam kelasnya.

Menjenguk ke bahagian dalaman pula, ia dipadankan dengan kemasan bermutu tinggi dan ringkas seperti MMI navigation plus dengan skrin bersaiz 7 inci untuk paparan sistem audio, sambungan telefon dan maklumat larasan gaya pemanduan.

Bagi memudahkan pencarian, ia dipasang dengan MMI touch untuk tidak hilang fokus pada pemanduan selain turut dipaparkan pada panel meter bagi kemudahan pemandu.

Tempat duduk bersadur kulit selesa Lumbar dengan penumpang hadapan boleh dilaras secara elektronik dan bahagian belakang boleh dijatuhkan untuk tiga bahagian 40:20:40 mening­katkan ruang daripada 480 liter sehingga 965 liter.

Meskipun bergaya sedan eksekutif, ia juga fleksibel terutama untuk membawa muatan yang panjang atau meletakkan bagasi bagi perjalanan ke luar daerah.

Pemanduan bertenaga dapat dirasakan apabila enjin 2.0 liter TFSI dengan empat silinder memberikan pecutan menakjubkan pada sebarang kelajuan memastikan kelancaran berterusan terutama di lebuh raya.

Kotak gear dengan transmisi tujuh kelajuan S tronic berfungsi baik untuk menghasilkan sehingga 190 kuasa kuda dan daya kilas 320 Nm daripada serendah 1,450 hingga 4,200 rpm.

Ciri-ciri ini membuat­kan ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam sekitar 7.3 saat dan kelajuan maksimum mencecah 240 km/j dan walaupun berprestasi, ia tetap efisien dalam penggunaan bahan api dengan catatan sekitar 5.0 liter untuk setiap 100 km perjalanan.

Selesa adalah perkara utama ketika pemanduan atau sebagai penumpang dalam kenderaan Audi A4 terbaru ini kerana diba­ngunkan dengan platform baru MLB-Evo yang juga dikongsi bersama model Q7.

Kerangka itu juga berfungsi baik dengan sistem stereng kuasa elektromekanikal dan sistem suspensi baru yang dibangunkan dengan five link adaptif serta kawalan peredam selesa untuk menyaring keadaan jalan tidak rata dan pada masa sama prestasi pemanduan tidak dkurangkan.

Mod pemanduan ciri standard setiap Audi membolehkan penulis melaras suspensi, enjin dan pemanduan termasuk boleh disimpan dalam sistem sebagai pilihan individu mengikut keselesaan, tujuan dan keadaan permukaan jalan.

Ia juga dilengkapi dengan pelbagai ciri elektronik bagi memastikan pemanduan lebih selamat dan efisien dengan sistem mula/henti, Kawalan Pengstabilan Elektronik (ESC), Kawalan Cengkaman (ASR), Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD), Kunci Perbezaaan Elektronik (EDL), Brek Anti-Kunci (ABS) dan enam beg udara.

Pada pandangan penulis, Audi A4 ialah sedan premium yang menjanjikan kepuasan pemanduan, ruang dalaman selesa, gaya eksklusif dengan reka bentuk bercirikan Eropah buat pembeli yang mengidamkan kenderaan dengan kelas yang tersendiri.

Terdapat dalam 10 warna iaitu putih, perak, merah Tango dan Matador, coklat, biru, kelabu Monsoon dan Manhattan serta hitam, ia dijual pada harga RM248,900 dan bermula April 2017, Audi memperkenalkan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Disiarkan pada: June 10, 2017 @ 11:11pm
d