vroom

Tayar mesra alam

Oleh Lizam Ridzuan

Tiga kelebihan utama tayar baru diperkenalkan oleh Bridgestone dengan ciri penjimatan bahan api, cengkaman lebih baik di jalan basah dan tahan lama terdapat pada model Passenger Radial Ecopia EP300 yang dilancarkan, baru-baru ini.

Produk mesra alam berprestasi tinggi ini juga menawarkan rintangan putaran rendah membantu mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida pada kereta dengan konsep reka bentuk dan penerapan kejuruteraan yang inovatif.

Pengarah Urusan Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn Bhd, Jo Takekawa berkata, EP300 juga dibuktikan dapat membantu penjimatan bahan api sehingga dua liter bagi setiap tangki penuh berbanding tayar konvensional.

“Tayar ini dihasilkan daripada pandangan pengguna dan digabung­kan dengan teknologi serta inovasi kejuruteraan Bridgestone menawarkan pilihan produk lebih baik dan selamat bagi kegunaan kenderaan,” katanya pada majlis pelancaran, baru-baru ini.

Kelebihan itu juga melengkapi dan sesuai dengan moto jenama itu ‘Bila anda inginkan segalanya’ untuk memenuhi permintaan tinggi pengguna yang mahukan produk yang mempunyai nilai tambah terbaik untuk pembelian yang berbaloi.

Selain itu, ciri NanoPro-Tech dipertingkatkan de­ngan bahan polimer dan corak bunga tayar baru untuk prestasi anti-lapisan air memberi lebih cengkaman di jalan basah serta pengendalian lebih baik dan pengurangan bunyi bising.

‘Lug’ yang lebih dalam di bahu tayar direka me­nguatkan ketahanan dan rintangan daripada haus untuk jangka hayat penggunaan yang lebih lama serta dapat mengurangkan jarak membrek sehingga 1.27 meter berbanding model EP200.

Terdapat 13 pilihan saiz tayar yang berbeza untuk pasaran tempatan sesuai untuk rim bersaiz 15, 16 dan 17 inci yang boleh didapati di rangkaian pe­ngedar jenama itu di seluruh negara.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 4:27am
d