vroom

Datsun gaya Hot Rod

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Datsun 620 berada di pasaran daripada Februari 1972 hingga 1979 dengan trak pikup ini terdapat dalam enam varian berbeza.

Biarpun kegunaannya hanya dikatakan layak untuk mengangkut barangan, jika kena cara dan gaya restorasinya, pasti hasilnya memukau.

Di Manjung, Perak, sebuah jentera pikup milik Mohd Fauzan Azim, 33, cukup unik apabila diubah suai berkonsep­kan Hot Rod.

Jentera 1973 yang menggunakan enjin asal iaitu J13 bersesaran 1,300cc itu memiliki kekuatan kuasa kuda (hp) yang rendah iaitu kurang daripada 100hp.

Biarpun begitu, pemilik tidak terlalu menitikberatkan keupayaan enjin sebaliknya lebih fokus kepada rupa bentuk luaran jentera.

Pelbagai komponen asal terus dikekal, namun penambahan sedikit aksesori seperti cermin sisi binaan khas serta komponen asal seperti perumah lampu hadapan dan gril hadapan disalut krom membuatkan jentera ini tampil lebih bergaya.

Bagi menampakkan ia mempunyai gaya seperti Hot Rod atau Hot Wheels, rim bersaiz 20 inci dipadankan pada jentera.

Untuk menempatkan rim bersaiz mega itu, ruangan kabin dibelakang terpaksa ditebuk dan dibina semula.

Imej jentera menjadi lebih unik dan tampil garang dengan teknik semburan angin bercorak api pada badan jentera.

Bagi memberikan lebih kekemasan pada jentera, bonet serta ruangan kabin belakang turut menerima teknik sama dengan rekaan corak berbeza.

Ruangan dalaman jentera turut dirombak apabila kerusi asal digantikan binaan khas dengan balutan material PVC berwarna hitam agar jentera kelihatan lebih elegan.

Penambahan dua meter pelbagai fungsi pada ruangan pemanduan membuatkan jentera ini semakin menarik untuk didekati.

Keseimbangan jentera dikawal oleh suspensi asal, namun di bahagian belakang jentera ini menggunakan suspensi lori atau ‘leaf spring’.

Untuk sistem brek pula pemilik menukarkan sistem asal kepada sistem brek Nissan SR20. Ditanya mengenai kos restorasi, sebanyak RM20,000 dibelanjakan pemilik bagi menghasil­kan jentera ini.

SPESIFIKASI:

DATSUN 620 1973

ENJIN: J13 1,300cc

RIM: 20 inci

SUSPENSI DEPAN: Asal

SUSPENSI

BELAKANG: Leaf spring/spring lori

BREK: Nissan SR20

- Cermin sisi kustom

- Ruangan kabin asal ditebuk dan dibina semula

- Tempat duduk kustom

- Cat semburan angin

- Komponen asal salut krom

KOS MODIFIKASI: RM20,000

Disiarkan pada: July 9, 2017 @ 1:24pm
d