vroom

Hampir 100 unit ditempah

Oleh Mohd Razlan Salleh

Go Auto terus mengorak langkah agresif dengan menembusi pasaran Batam, Indonesia dalam usaha menjadikan negara itu sebagai hab jenama Haval di rantau Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Go Auto, Ahmad Azam Sulaiman berkata, kemasukan Haval ke pasaran Batam, Indonesia berjaya dilaksanakan seperti dirancang.

“Kami menerima tempahan hampir 100 unit untuk pasaran Batam dan optimis angka ini terus meningkat selepas dilancarkan secara rasmi.

“Go Auto menyasarkan 400 unit model Haval terjual di Batam sepanjang tahun ini,” katanya.

Terdahulu, majlis pelancaran disempurnakan Ahmad Azam bersama Pengarah Urusan PT Makmur Andalan Indonesia (MAI), Sudry Aliyanto dan Pengarah Urusan PT Nusa Jaya, Mobilindo Acun di Batam, Indonesia, baru-baru ini.

Ahmad Azam berkata, sebagai permulaan, antara model dilancarkan untuk pasaran Batam ialah Haval H1, H2 and H8.

“Batam adalah pasaran Asia Tenggara terbaru ditembusi Go Auto selepas berjaya memasarkan jenama Haval ke Kemboja dan Brunei.

“Usaha eksport ini juga seiring wawasan Go Auto untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pemasangan kenderaan utiliti sukan (SUV) Haval berstatus EEV (Kenderaan Cekap Tenaga) bagi seluruh pasaran Asia Tenggara,” katanya.

Ahmad Azam berkata, selain Kemboja, Brunei dan Batam, Go Auto turut merancang memasuki beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam, Filipina serta Myanmar pada tahun ini dan tahun depan.

“Selain itu, kami juga mendapat permintaan dari Singapura yang difikirkan sangat menarik. Ia bukan kerana nilai pasaran, tetapi jenama itu sendiri. Kemasukan Haval ke Singapura akan menjadi penanda aras yang baik untuk jenama ini di Asia Tenggara,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2017 @ 1:26pm
d