vroom

Kawalan agresif

Oleh Farith Zahir

Generasi ketiga Ducati Hypermotard 939 membuatkan peminat model itu teruja akan rekaan dan prestasi tunggangan. Apatah lagi penambahan kuasa enjin lebih 10 peratus berbanding model sebelumnya memberi lebih kepuasan kepada pengguna.

Vroom dan TV9 berpeluang menunggang uji jentera itu baru-baru ini untuk merasai kehebatannya. Dari sudut pandang reka bentuk dihasilkan pengeluar motosikal Itali ini jarang mengecewakan.

Tetap menampilkan gaya agresif diinspirasikan daripada ‘dirtbike’ dengan kelegaan bumi dan bahagian belakang tirus dan tinggi menyerlahkan karakter sebuah hypermotard.

Bagi penulis, hampir keseluruhan bahagian jentera ini disusun kemas, rapi dan teliti dengan bahagian lampu isyarat membelok LED baru yang disekalikan untuk rekaan lebih kemas sesuai untuk gaya urban.

Lengan ayun tunggal atau ‘single arm’ dibahagian kiri menarik perhatian penulis selain keunikan rim motosikal ini satu gabungan menarik serta tampil sporty.

Ia dilengkapi fork Kayaba 43 milimeter diameter dan penyerap hentakan Sachs boleh dilaras untuk menyerap pelbagai permukaan jalan.

Jentera ini bergerak menggunakan tayar Pirelli Diablo Rosso II selain dilengkapi sistem brek ABS Bosch menambah keyakinan terutamanya ketika mengambil selekoh dan memecut di laluan lurus.

Kelajuan maksimum jentera hypermotard ini 220 kilometer sejam dengan transmisi manual enam kelajuan yang lancar dengan berat bersih 181 kilogram.

Terdapat tiga mod tunggangan iaitu Urban, Touring dan Sport mengikut keperluan individu serta dilengkapi dengan Kawalan Cengkaman Ducati (DTC).

Secara keseluruhannya, ia sebuah motosikal ringan serta sesuai ditunggang untuk pelbagai tujuan termasuk laluan bandar serta mudah dikawal sewaktu jalan sesak.

Selain sesuai untuk kegunaan harian serta tunggangan jarak jauh dengan kemampuannya menyamai motosikal kategori sport atau sukan, ia juga sesuai untuk digunakan di litar lumba.

Model 2017 ini mula dipasarkan pada Mac lalu dengan harga jualan asas RM71,899 dengan dua tahun waranti tanpa had perbatuan.

Paparan ini boleh disaksikan dalam segmen Vroom siaran TV9 hari ini, jam 12 tengah hari dan 8 malam.

Disiarkan pada: July 16, 2017 @ 8:45am
d