vroom

Ttawar servis terbaik

Sejak dilantik sebagai pemasang dan pengedar tunggal motosikal MV Agusta dari Itali pada Disember tahun lalu, Moto Varese Asiatic Holdings (MV Agusta Malaysia) kini aktif mengembangkan jenama itu untuk pasaran di negara ini.

Sebuah Pusat Gaya Hidup MV Agusta seluas lebih 1,800 meter persegi dibuka di Kawasan Perusahaan Amari Batu Caves untuk mengendalikan permintaan pengguna di kawasan tengah terutama di Lembah Klang dan sekitar.

Pengarah Urusannya, Mohamad Zamry Abu Samah berkata, buat masa ini satu lagi pusat jualan dan pameran terdapat di Pulau Pinang boleh dikunjungi dengan fungsi menjual motosikal, aksesori, cenderamata, barang alat ganti atau pun servis.

“Kami akan meluaskan pasaran ke kawasan pantai timur, Johor dan Sabah atau Sarawak menjelang akhir tahun bagi menyediakan pusat seperti ini untuk kemudahan pengguna motosikal MV Agusta di sana,” katanya pada majlis pelancaran, baru-baru ini.

Buat masa ini enam model sudah dipasang secara tempatan (CKD) antaranya ialah MV Agusta Brutale 800, Brutale 1090, Dragster 800RR, Tourismo Veloce 800, Tourismo Veloce 800 Lusso RC dan F4RR.

Harga jualan bagi kesemua model tersebut bermula dari RM90,000 hingga RM150,000 dengan kos alat ganti yang berpatutan disediakan untuk kelegaan kepada pengguna.

“Sokongan penuh daripada MV Agusta Itali yang bersetuju menurunkan harga alat ganti adalah komitmen kami untuk memberi khidmat lepas jualan yang berkualiti kepada pemilik motosikal ini,” katanya.

Bagi menambahkan kepelbagaian serta pilihan kepada pengguna tempatan, syarikat akan memperkenalkan enam lagi model baru MV Agusta yang akan dibawa masuk secara berperingkat sebelum akhir 2017.

Turut hadir ketika perasmian ialah Pengarah Jualan dan Pemasaran MV Agusta SPA Italy, Raffaele Giusta, Pengarah Kejuruteraan Automobil Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Mohamad Dalib dan Pengarah Eksekutif DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd, Hu Ying.

Disiarkan pada: July 30, 2017 @ 1:42am
d