vroom

Konvoi ulang tahun ke-70 Ferrari

Oleh Hairie Norli

Pengalaman menghadiri Majlis Makan Malam Gala anjuran Naza Italia di Fort Cornwallis, Georgetown sempena sambutan ulang tahun global Ferrari ke-70, baru-baru ini membuatkan penulis teruja.

Sudah pasti ia satu majlis istimewa dan dinantikan peminat setia Ferrari di seluruh dunia. Keindahan waktu malam kota peninggalan Inggeris yang dibina pada 1786 itu memang memukau saat tetamu mula melangkah masuk ke dalam kota bersejarah itu.

Sebelum itu, seramai 49 pemilik kereta Ferrari dari seluruh negara berkonvoi dan berkumpul di Padang Kota Lama membabitkan 44 orang dari Kuala Lumpur dan lima dari Pulau Pinang. Pada majlis makan malam itu, mereka dibawa menaiki beca dari hotel penginapan sebelum disambut dengan tarian naga.

Sambutan ulang tahun ke-70 Ferrari itu turut berlangsung di lebih 60 negara di dunia dengan temanya ‘Driven by Emotion’ yang bermula dari 12 Mac hingga 10 September dan bakal berakhir di negara kelahiran Ferrari sendiri iaitu Maranello, Itali.

Majlis diteruskan dengan tayangan video khas menunjukkan lakonan semula babak kereta 125 S dipandu keluar dari kawasan kilang Ferrari 70 tahun lalu. Pada 12 Mac 1947, Enzo Ferrari berjaya menghidupkan enjin 125 S (kereta pertama menggunakan namanya) dan sesi pandu uji kereta 125 S itu dilakukan sekitar Maranello dan menjadi tanda bermulanya sejarah era moden Ferrari.

Kereta pertama menampilkan logo kuda ‘Cavallino Rampante’ itu dikuasakan enjin 12 silinder bersesaran 1,500cc yang direka Gioacchino Colombo dengan bantuan Giuseppe Busso dan Luigi Bazzi.

Kemuncak bagi majlis makan malam itu apabila Naza Italia selaku pengimport dan pengedar Ferrari di negara ini mempersembahkan model edisi terhad mereka LaFerrari Aperta.

Ferrari memperkenalkan LaFerrari Aperta pada Julai 2016 dan dijadikan ikon ulang tahun ke-70. Ia dibangunkan sebagai ‘hyper car’ yang sangat eksklusif berbanding model coupe Ferrari lain.

Hanya 209 unit dihasilkan buat pasaran global dan model ini cuma ditawarkan kepada pelanggan setia yang mempunyai enam kereta Ferrari ke atas.

Model siri istimewa itu adalah versi ‘spider’ edisi terhad dengan ciri eksklusif, berteknologi mengagumkan mempunyai prestasi dinamik serta gaya unik bakal mempersonakan setiap pelanggan istimewa Ferrari sepanjang tujuh dekad kewujudan mereka.

Edisi terhad itu turut memaparkan keunikan tersendiri kerana mempunyai logo 70 tahun pembikinan jentera Ferrari berhampiran roda belakangnya.

Penggayaannya dilaksanakan Centro Stile Ferrari di bawah Flavio Manzoni, yang menampilkan pelbagai ciri dipadankan dengan pengalaman pemanduan lebih optimum.

Jentera berprestasi tinggi itu dijana dengan unit kuasa hibrid dipadankan dengan enjin 12 silinder bersesaran 6,252cc digabungkan dengan transmisi tujuh kelajuan klac berkembar. Ia turut mengimplementasikan teknologi terkini, termasuk padanan ‘Hybrid Kinetic Energy Recovery System (HY-KERS)’ untuk tambahan kuasa sebanyak 161hp hasil daripada janaan motor elektriknya.

Kombinasi kedua-dua teknologi itu mampu menyalurkan kuasa maksimum mencecah 950hp dengan tork mencecah 900Nm yang disalurkan ke pacuan roda belakang. Difahamkan tahap kelajuan ‘Hybrid Hypercar’ ini boleh mencecah 349 kilometer sejam (km/j) iaitu sama dengan kelajuan Ferarri Enzo. Namun, ia boleh mencapai 0-100km/j dalam tempoh 2.4 saat.

Model itu dijual pada harga bermula daripada RM6.8 juta dan dua pembeli dari negara ini berjaya mendapatkannya serta bakal menerima model ikonik ini pada awal tahun hadapan.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 3:41am
d