vroom

Sejuk kawalan jauh

Oleh Badrila Jamlus

Bayangkan anda memarkir kereta di tempat terbuka yang terdedah kepada sinaran matahari yang panas terik, berapa lamakah masa diperlukan untuk sistem pendingin hawa menyejukkan udara dalam kereta anda apatah lagi ketika itu anda bersama anak-anak kecil?

Tentu sekali timbul keadaan tidak selesa kerana terpaksa menunggu beberapa minit untuk memastikan sistem pendingin hawa berfungsi pada tahap maksimum.

Bagaimanapun, masalah ini mungkin tidak timbul bagi mereka yang menjadi pemilik baru Honda Civic generasi ke-10 yang dilancarkan di negara ini pada tahun lalu. Ini kerana sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin yang dikawal menerusi sistem kawalan jauh membolehkan pemilik kereta ini menghidupkan enjin kereta dari jarak kira-kira 40 meter tanpa perlu membuka pintu sekali gus sistem pendingin hawa berfungsi sepenuhnya.

Namun, anda tidak perlu bimbang meskipun enjinnya dihidupkan, sistem penggera keselamatan kereta ini tidak membenarkan sesiapapun memasuki kereta ini melainkan pemiliknya sendiri yang mengawal kunci pintarnya.

Fakta menarik mengenai sistem ini ialah, enjin kereta ini akan dihidupkan selama 10 minit dan sebaik sahaja anda melangkah masuk ke ruang dalaman, anda berasa sangat selesa kerana udara panas sudah bertukar kepada udara sejuk. Sungguh hebat, bukan?

Sekiranya selepas 10 minit anda tidak memasuki kereta ini, secara automatik enjin akan mati atau anda boleh memilih untuk menekan semula butang hidupkan enjin untuk mematikan enjin secara jauh. Untuk memastikan sistem pendingin hawa ini berfungsi, anda tidak harus menekan butang tutup (off) tetapi menyelaraskannya pada tahap yang dikehendaki.

Ciri baru yang diperkenalkan Honda bagi model Civic dianggap sebagai perintis dalam teknologi dunia permotoran di negara ini dan mungkin boleh dicontohi pengeluar automotif lain kerana kita sedia maklum mengenai cuaca Malaysia khususnya ketika musim panas.

Selain butang buka dan tutup serta butang menghidupkan suis, Honda Civic juga menyediakan butang untuk membuka but kereta dari jauh. Semua fungsi kunci pintar ini adalah ciri standard bagi semua varian yang ditawarkan oleh Honda Malaysia Sdn Bhd.

Penulis yang berpeluang memandu uji model Honda Civic 1.8S ini kagum dengan ciri pintar ditawarkan malah sistem kawalan pintunya akan ditutup secara automatik dalam beberapa saat sebaik sahaja penulis keluar dari kereta tanpa perlu menekan apa-apa butang pun.

Sebenarnya, semua ciri pintar ini boleh dikawal atau ditetapkan pada paparan skrin sesentuh yang terletak pada bahagian tengah papan pemuka kereta ini. Anda juga boleh mengawal tempoh masa untuk membiarkan lampu hadapan menyala sama ada 15 saat ataupun 30 saat selepas keluar dari kereta, begitu juga bagi warna yang mahu digunakan pada paparan skrin.

Pelbagai ciri tetapan boleh dilakukan mengikut keselesaan anda termasuk menghubungkan dengan telefon pintar sama ada menggunakan platform Android atau iOS.

Ketika ini, di pasaran sebanyak tiga varian diperkenalkan iaitu dua varian tertinggi yang menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan varian paling rendah 1.8S. Namun, varian paling laris ialah 1.5 liter VTEC Turbo yang mana tahap kuasa enjinnya hampir menyamai enjin berkuasa 2.4 liter.

Justeru, model 1.5 TC lebih mudah ditemui di atas jalan raya berbanding model 1.8S meskipun jika dilihat dari segi harga, Honda Civic 1.8S jauh lebih murah berbanding model lebih premium, iaitu dijual pada harga atas jalan dengan insurans RM113,800, manakala model pertengahan 1.5TC berharga RM127,800 (RM14k lebih mahal) dan RM135,800 untuk 1.5TC-Premium (RM22k lebih mahal).

Jika dilihat pada bahagian luaran, model ini tidak diberikan lampu hadapan LED sepenuhnya tetapi lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus (bukan LED) diberikan secara standard.

Ia juga dilengkapi dengan rim aloi 16-inci dua tona, berbanding model 1.5 TC yang dipadankan rim 17-inci. Hanya emblem i-VTEC diletakkan pada sisi kanan belakang. Selain itu, semua ciri lain adalah sama dengan varian yang lebih mahal. Ia juga hanya dilengkapi dengan satu peredam ekzos, berbanding dua untuk model turbo.

Melangkah ke ruang kabin, model 1.8S ini juga hadir dengan banyak ciri yang sama dengan model 1.5T termasuk paparan instrumen dengan skrin LCD berwarna sepenuhya, menampilkan takometer, speedometer, dan juga informasi lain dalam bentuk digital.

Papan pemuka juga diberikan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci untuk sistem infotaimen Honda Display Audio dan turut berfungsi sebagai paparan kamera undur serta kawalan pendingin hawa dua zon. Untuk mengawal tahap bunyi audio, anda hanya perlu meleretkan ibu jari dari atas ke bawah tanpa perlu menekan tanda + atau -.

Ciri standard lain ditampilkan pada varian 1.8S ini termasuk brek parkir elektronik (dengan fungsi auto brake hold), corong pendingin hawa belakang, tempat duduk hadapan pelarasan lapan-hala, roda stereng pelbagai fungsi berbalut kulit, sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin kawalan jauh serta kunci pintu automatik walk away.

Walaupun tiada kemasan kulit pada tempat duduk, fabrik yang ditampilkan tidak kurang premiumnya dengan penampilan seperti kain denim dan juga jalur jahitan di tengah-tengah diserlahkan dengan benang putih, kontras dengan tema hitam keseluruhan. Pedal penukar gear pada stereng juga tidak diberikan pada varian paling asas ini.

Honda Malaysia juga memberikan ciri-ciri keselamatan yang sama pada varian 1.5 TC dan 1.5 TC-Premium pada model paling asas dilengkapi enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSC), Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki (HSA), tali pinggang keledar pra tekanan dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Varian paling rendah ini diberikan enjin R18 1.8 liter i-VTEC, unit yang sama menjana model terdahulu dengan bekalan kuasa 141PS pada takat 6,500rpm dan tork maksimum 174Nm pada takat 4,300rpm.

Walaupun enjin ini tidak dibekalkan dengan kuasa turbo, ia masih mampu memberikan tujahan pecutan yang baik malah kuasa linear yang dihasilkan oleh enjin ini dirasakan lebih sepadan dengan transmisi CVT yang diberikan.

Sebaik sahaja pedal pendikit ditekan, ia terus memecut laju dan penukaran gearnya juga begitu lancar. Anda boleh memilih gear sport dengan menukar kepada kedudukan S untuk tahap penukaran gear yang lebih responsif berbanding gear biasa. Untuk penjimatan bahan api, tekan sahaja butang ECON yang terletak di sebelah kiri berhampiran gear.

Sistem talaan suspensinya juga memberikan tahap keselesaan terbaik dan mampu menyerap hentakan serta pada masa sama membenarkan tahap kebisingan yang minimum. Ruang kargo belakangnya juga luas dan mampu memuatkan barangan sebesar 519 liter.

Secara umumnya, model 1.8S ini sudah cukup menyerlahkan teknologi terkini yang ditawarkan Honda menerusi model Civic generasi terbaru. Harga yang ditawarkan juga berpadanan dengan ciri diberikan kebanyakannya hampir sama dengan model varian lebih tinggi. Tepuk dada tanya selera.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 9:54am
d