vroom

Model paling pantas

Oleh Lizam Ridzuan

Paling pantas pernah dihasilkan jenama ini, Ferrari 812 Superfast dilancarkan untuk pasaran global pada Pameran Motor Antarabangsa Geneva, Mac lalu.

Dijana enjin 6.5 liter V12 tujuh kelajuan dengan kuasa kuda 800hp pada 8,500rpm dan tork 718Nm pada 7,000rpm, ia mampu memecut daripada tahap pegun ke 100 kilometer (km)/sejam dalam tempoh 2.9 saat.

Untuk pasaran tempatan, Naza Italia Sdn Bhd sebagai pengimport dan pengedar rasmi supercar Ferrari melancarkannya baru-baru ini dan berjaya mencatatkan pratempahan sebanyak 10 unit.

Ketua Pegawai Operasinya, Farid Sulaiman berkata, pembeli dijadual menerima kereta mereka pada suku tahun kedua 2018 dan menjangkakan peningkatan tempahan sebaik ia dilancarkan.

“Model berkonsepkan futuristik ini dilancarkan sempena ulang tahun ke-70 jenama Ferrari ditawarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia bagi lebih pilihan serta eksklusif untuk memenuhi golongan sasaran yang premium,” katanya ketika pelancaran.

Model ini juga adalah lembaran baru untuk sejarah enjin V12 sejak pengeluaran model Cavallino Rampante 125 S pada 1947 yang mana Ferrari masih kekal menghasilkan kereta berprestasi menggunakan enjin 12 silinder sehingga ke hari ini.

Model ini juga untuk pembeli yang mahukan kenderaan yang boleh memberikan kepuasan maksimum ketika pemanduan, enjin yang berkuasa serta sesuai untuk kegunaan di litar perlumbaan dan jalan raya serta selesa untuk perjalanan jarak dekat dan jauh.

Sebagai warisan V12, karakternya dijulang daripada elemen perlumbaan yang terbukti berprestasi dan kecemerlangan teknologi menerusi rekaan yang aerodinamik serta tork maksimum sentiasa mengalirkan tenaga pemanduan termasuk pada ‘rev’ rendah.

Ia juga dilengkapi Stereng Kuasa Elektronik (EPS) yang termaju dalam sistem dan komponen kawalan bagi menggunakan sepenuhnya kelebihan yang terdapat pada model ini untuk kemantapan kawalan.

Model ini juga menggunakan sistem Virtual Short Wheelbase (PCV) 2.0 yang menggabungkan teknologi bantu stereng roda hadapan elektrik dengan konsep mekanikal yang dibina di sekeliling tayar dan roda belakang berfungsi untuk pengendalian lebih stabil ketika selekoh.

Gaya dan elemen aerodinamik untuk 812 Superfast juga dipadankan dengan dua pendekatan pada bahagian hadapan dan belakang termasuk ‘downforce’ dipertingkatkan 10 peratus dan bahagian fender belakang sebanyak lapan peratus berbanding model F12 untuk meningkatkan prestasi dan kemantapan jentera.

Untuk ruang dalaman, ia juga diberi sentuhan rekaan sporty dan moden dengan pelbagai fungsi pada papan pemuka termasuk tempat duduk yang ergonomik dengan standard Human Machine Interface (HMI).

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga asas bermula daripada RM1,578,800 dengan warna baru Rosso Settantanni yang dikeluarkan sempena ulang tahun ke-70 Ferrari.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 12:01am
d