vroom

Karting Slalom uji skil

Oleh Mohd Razlan Salleh

Pertandingan Karting Slalom mungkin kedengaran asing bagi peminat sukan permotoran tempatan berbanding perlumbaan kart.

Namun pertandingan itu sebenarnya sangat digemari di negara asing terutama ibu bapa yang mahu melihat anak mereka berjinak-jinak dengan dunia perlumbaan khususnya Formula Satu (F1).

Buat kali pertama, pertandingan Karting Slalom diperkenalkan kepada peminat sukan automotif tempatan sempena Malaysia Autoshow 2017 yang bakal diadakan November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Datuk Mohamad Madani Sahari berkata, pertandingan itu sudah lama diadakan di negara asing dan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan, selain diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

“Ini kerana pertandingan Karting Slalom perlu mendapat kebenaran Commission Internationale de Karting-Federation Internationale de I’Automobile (CIK-FIA) yang bertanggungjawab mengawal selia sukan kart.

“Selain itu, pertandingan ini boleh disertai semua golongan termasuk kanak-kanak dan wanita,” katanya pada sidang media Pengenalan Karting Slalom di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), baru-baru ini.

Beliau berkata, pertandingan itu bukan bersifat perlumbaan yang mementingkan kelajuan, sebaliknya cenderung pada skil dan kecekapan individu mengendalikan jentera mengikut laluan kon disediakan.

“Namun, catatan masa tetap direkodkan dan individu terpantas melepasi garisan penamat tanpa melanggar kon akan dikira sebagai pemenang.

“Sekiranya pemandu melanggar kon atau tersasar daripada laluan asal, penalti akan dikenakan,” katanya.

Menurutnya, tiga kategori diperkenalkan iaitu Kelas 1 untuk individu berusia lapan hingga 13 tahun, Kelas 2 (14 hingga 18 tahun) dan Kelas 3 untuk 18 tahun ke atas.

“Karting slalom yang julung kali diadakan ini akan dipantau Kelab Kart Selangor dan Wilayah Persekutuan menggunakan catatan masa elektronik.

“Ini pertandingan menyeronokkan kerana pemandu perlu mengikut laluan kon, selain mengawal kelajuan jentera,” katanya.

Dalam pada itu, Madani berkata, pihaknya menyasarkan tarikan 200,000 pengunjung ke Malaysia Autoshow 2017 kelak yang membabitkan 150 pempamer terdiri daripada penggiat automotif yang sudah mengesahkan penyertaaan.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 12:00am
d