vroom

Emisi sifar

Oleh Lizam Ridzuan

Kenderaan elektrik Nissan Leaf serba baru dilancarkan di Jepun pada awal bulan ini dilengkapi teknologi paling maju dengan rekaan lebih menarik.

Kereta dengan emisi sifar ini dilengkapi teknologi pemanduan autonomi, parkir ProPilot, e-pedal, kuasa dan jarak dipertingkat, kemasan lebih baik serta selesa.

Tiga aspek utama diketengahkan iaitu Pemanduan Pintar Nissan, Kuasa Pintar Nissan dan Integrasi Pintar Nissan sebagai Mobiliti Pintar Nissan untuk membawa pemanduan kereta ke tahap lebih maju.

Untuk pemanduan pintar, teknologi ProPilot bersama kawalan dengan pemanduan autonomi mengekalkan jarak selamat di antara kereta hadapan pada kelajuan 30 dan 100 kilometer (km)/sejam.

Parkir ProPilot pula membantu pemandu menggunakan 12 pengesan ultrasonic bagi meletakkan kereta dalam petak parkir dengan mudah hanya dengan mengawal minyak, brek dan roda stereng.

Antara inovasi lain yang dipertingkatkan pada Nissan Leaf ialah e-pedal sebagai ciri standard iaitu dengan mudah untuk menggerakkan kenderaan, membrek dan menahan kereta daripada mengundur hanya dengan satu pedal.

Kuasa Pintar Nissan menawarkan e-powertrain baru bagi meningkatkan penggunaan tenaga yang efisien serta kuasa dengan tork sebanyak 38 dan 26 peratus lebih tinggi berbanding model sebelum ini.

Bateri Lithium-ion pada Leaf juga mampu bertahan sehingga 400km dengan saiz yang sama meningkat sebanyak 67 peratus berbanding model 2010 serta masa mengecas 16 jam untuk 3kw dan 8 jam untuk 6kw.

Rekaaan luaran kini tampil lebih sporty diinspirasikan daripada kereta Konsep pertama IDS yang kali dipertontonkan Nissan pada Tokyo Motor Show 2015.

Gril hadapan V-Motion, lampu signatur ‘boomerang’ dan bumbung terapung menjadikan Leaf memiliki ciri rekaan yang sama dengan model Nissan lain seperti X-Trail.

Ruang dalaman selesa dengan konsep terbuka pelbagai fungsi seperti suis dan monitor gabungan analog speedometer dengan paparan pelbagai maklumat pada papan pemuka tengah untuk kemudahan pemandu.

Nissan Leaf baru akan dijual untuk pasaran Jepun pada Oktober 2017 dan dijadualkan pada Januari 2018 untuk pasaran Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah serta 60 negara lain di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 12:00am
d