vroom

Estima TCR 11 bukan 'kereta mayat'

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Biarpun ada segelintir individu beranggapan jentera ini hanya dikhaskan atau digelar kereta mayat, namun tanggapan itu sememang­nya tidak boleh diterima dan jauh daripada tujuan asal pembinaannya.

Toyota Estima varian TCR 11, sebenarnya dicipta sebagai sebuah MPV keluarga dengan tujuh tempat duduk dan bentuknya hampir menyamai van namun banyak perbezaan ketara khususnya pada sudut pemanduan.

Modifikasi Vroom kali ini membawa pembaca melihat keunikan jentera milik jejaka dari ibu negara yang hanya mahu dikenali sebagai Ameng, 31, iaitu Toyota Estima TCR 11 binaan 1995 yang mengetepikan persepsi negatif sesetengah pihak terhadap jentera jenis itu.

Modifikasi ‘simple’ namun menyerlahkan keunikan jentera di mana hasilnya amat memukau. Menggunakan kit badan Fabulous Japan terutama bampar hadapan dan belakang termasuk foglamp, menjadikan jentera tampak lebih rendah dan bergaya.

Padanan dapra dan hud binaan khas menjadikan jentera semakin unik dan berbeza. Selain itu, jentera ini turut mengekalkan bumbung suria (sunroof) dan moonroof asal di samping pintu gelongsor vacum.

Uniknya jentera ini ia mampu ditinggi dan direndahkan dengan hanya menekan butang kawalan apabila menggunakan suspensi udara Air Bomber.

Sudut dalaman jentera pula terutama ruang pemanduan, jentera menggunakan stereng Fabulous Japan dan keseluruhan sudut dalamannya dibaluti material PU dengan padanan warna hitam dan merah.

Menjengah ke bahagian enjin, jentera masih mengekalkan enjin 2TZ namun dinaik taraf dan menjalani proses pendawaian baru.

Selain ECU kustom, alternator asal digantikan dengan model Estima ECR dan turut menggunakan kipas berkembar elektrik daripada model RB mengganti kipas berklac.

Sistem kuasa terus dipertingkat dengan penggunaan ekzos tip Fabulous Japan dengan peredam Remus Austria. Seterusnya pemilihan rim turut mempengaruhi rupa bentuk jentera dan pemasangan rim Super Rouetech Advanti 20 inci dengan padanan tayar Toyo 245/35/20 menjadikan jentera itu lebih gah.

Menurut Ameng yang juga ahli Estima TCR BEAN Group Malaysia, jenteranya diubah suai sendiri bersama rakan dan adik-beradik dengan kos mencecah lebih RM20,000.

SPESIFIKASI:

Toyota Estima TCR 11

- Enjin 2TZ 2,400 cc

- Transmisi Auto

- Warna merah Audi berlian emas

- Bodykit Fabulous Japan

- Ekzos tip Fabulous Japan

- Foglamp Fabulous Japan

- Peredam Remus Austria

- Hud kustom

- Fender kustom

- Pintu vakum gelongsor

- Rim Super Rouetech Advanti 20 inci

- Alternator Estima ACR model

- ECU kustom

- Suspensi udara Air Bomber

- Stereng Fabulous Japan

- Kos modifikasi: RM20,000

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 3:20am
d