vroom

Bakal jengah pasaran [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan (Yang membuat liputan melawat kilang motosikal Bajaj Auto Ltd di Pune

Selepas melancarkan tiga model Modenas pada Mei tahun ini iaitu Pulsar RS200, NS200 dan V15, kini giliran Dominar 400 bakal menjengah ke pasaran Malaysia.

Dijangka bakal berada dalam pasaran tempatan pada suku pertama 2018, ia adalah hasil kerjasama strategik antara Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dan Bajaj Auto Ltd (BAL) pengeluar motosikal terbesar di India dan ketiga di dunia.

Model berkonsepkan Sports Tourer itu dilancarkan di India pada hujung tahun lalu dikuasakan dengan enjin 373cc DTS-i empat lejang satu silinder dengan suntikan bahan api tiga palam pencucuh.

Ia mampu menghamburkan kuasa pada 35 PS dan tork 35Nm serta mampu memecut 0 hingga 100 kilometer (km)/sejam (j) dalam tempoh 8.23 saat menerusi

kotak gear enam kelajuan sesuai untuk tunggangan yang responsif atau prestasi.

Penulis berkesempatan menguji motosikal itu di litar ujian Bajaj di kilang pembuatan dan pemasangan di Chakan, India dalam sesi lawatan bersama pengedar Modenas dan media baru-baru ini.

Selain enjin yang bertenaga, motosikal ini juga menawarkan pengendalian yang mantap ketika melayan selekoh menjadikan jentera dua roda itu sesuai untuk pelbagai tujuan.

Kerangka perimeter berkembar teguh seberat 182 kilogram (kg) menjadikan ia tahan lasak dengan lengan ayun metal memberikan kestabilan kepada pelbagai permukaan jalan.

Ia didatangkan dengan brek cakera hadapan 320 milimiter (mm) dengan ABS adalah paling besar dalam kelasnya memberikan keupayaan membrek dengan lebih mantap pada sebarang kelajuan.

Paparan dua meter digital terpisah bagi kemudahan penunggang untuk maklumat perjalanan dan enjin, penyejukan cecair serta klac slipper bagi kemajuan teknologi dan kejuruteraan bagi kelancaran berterusan juga ditawarkan pada Dominar.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Amirudin Abd Kadir berkata, motosikal ini mempunyai ciri terkini sesuai untuk pengguna di Malaysia yang mahukan sebuah jentera dua roda yang fleksibel.

“Perjalanan harian ke tempat kerja atau menunggang jarak jauh Dominar 400 adalah model serba guna selain enjin yang responsif serta posisi menunggang yang selesa,” katanya.

Tiada pengumuman harga dilakukan namun jangkaan penulis ia akan dijual sekitar RM18,000 hingga RM21,000 dan pasti menjadikan saingan motosikal sports dan naked lebih kompetetif dengan pilihan model yang menarik dalam pasaran tidak lama lagi.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 12:00am
d