vroom

Ride for Jalil

Oleh HM Digital

Hampir RM1 juta dana berjaya dikumpul daripada konvoi amal ‘Ride for Jalil’ yang disertai lebih 300 penunggang dari seluruh negara yang berlangsung di Johor, baru-baru ini.

Ketua kembara yang juga Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim berkata, konvoi itu bertujuan memberi kesedaran mengenai penyakit kanser kepada masyarakat selain mengumpul dana bagi membantu pesakit itu.

Pemergian putera kesayangan rakyat Johor, Tunku Laksamana Tunku Abdul Jalil Iskandar Sultan Ibrahim Ismail selepas disahkan menghidap kanser hati tahap empat. Baginda yang diputerakan pada 5 Julai 1990, adalah anakanda keempat Sultan Ibrahim Ismail.

Tunku Jalil sering menjadi tumpuan ramai khususnya sewaktu beliau berusaha melawan penyakitnya selain sempat meluangkan masa melawat pesakit sama di hospital sama ada di dalam dan luar negara.

Atas kesedaran itu, Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor melalui adindanya Tunku Abdul Rahman menganjurkan program Ride For Jalil dan yang pertama seumpamanya. Turut serta Tunku Paduka Putera, Tunku Abu Bakar serta Tengku Temenggong Terengganu, Tengku Datuk Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah.

“Antara sebab kenapa saya menggunakan nama rasmi kembara ini ‘Ride for Jalil’ ialah bagi membawa semangat Allahyarham melawan kanser serta berusaha membantu pesakit lain dengan pelbagai cara,” katanya.

Konvoi sebelum itu memulakan perjalanan dari Stadium Sultan Ismail, Muar sebelum mengembara ke lima daerah di Johor termasuk Batu Pahat, Keluang, Pasir Gudang dan Johor Bahru dengan jarak perjalanan dianggarkan sejauh 300 kilometer.

Apa yang menariknya, keakraban pengguna motosikal pelbagai jenama dijelmakan melalui program seumpama ini. Malah ideologi serta fahaman dalam dunia permotoran segera ditepis bagi memastikan objektif membantu golongan sasar tercapai.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 12:00am
d