vroom

Jarak membrek lebih singkat

Oleh Mohd Razlan Salleh

Tayar adalah komponen paling penting dalam kenderaan tidak kira sama ada motosikal, kereta, lori atau bas.

Malah, tidak dinafikan tayar adalah penentu nyawa pengguna jalan raya walaupun kenderaan mereka dilengkapi pelbagai sistem brek yang canggih.

Ini kerana tayar adalah satu-satunya komponen yang berhubung secara langsung dengan permukaan jalan. Atas dasar itu, Continental Tyre PJ Malaysia Sdn Bhd (CTM) melancarkan tayar generasi terbaru MaxContact MC6 yang berteknologi tinggi dan jauh lebih baik terutama ketika jalan basah.

Tayar kejuruteraan Jerman generasi keenam itu direka bagi mengekalkan stabiliti kenderaan, cengkaman terbaik terhadap sebarang permukaan jalan termasuk jarak berhenti yang pendek ketika membrek.

Pandu uji ringkas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membuktikan MaxContact MC6 sesuai digunakan di jalan biasa atau litar.

Ujian slalom, mengubah haluan pada kelajuan tinggi dan membrek pada permukaan jalan basah membolehkan tayar terbaru itu mencatatkan rekod lebih baik berbanding generasi sebelumnya.

MaxContact MC6 direka dengan tiga elemen utama antaranya rekaan bunga tayar pelbagai fungsi yang menjadikan kenderaan lebih senyap, mampu menyerap sebarang permukaan jalan dan jarak membrek lebih singkat.

Formula Adaptive Grip Compound membolehkan teknologi elastik bunga tayar menyerap sebarang permukaan jalan dengan baik dan boleh dilihat dalam skala nano.

Teknologi Xtreme Force Construction pula membolehkan kenderaan stabil ketika membelok pada kelajuan tinggi, kurang bising, selain keselesaan pemanduan pada kelajuan normal.

Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, Cameron Wilson berkata, tayar berkenaan dibangunkan selepas menilai maklum balas pasaran bagi menghasilkan tayar yang memenuhi keperluan pengguna jalan raya di Asia.

“Dengan ciri termaju teknologi kejuruteraan tayar Jerman, Continental menawarkan prestasi lebih baik berbanding generasi sebelum ini (MaxContact MC5), selain jarak perbatuan dan kecekapan bahan api lebih baik.

“Pelancaran ini adalah selari dengan matlamat syarikat untuk menguasai pasaran di Asia Pasifik,” katanya.

Wilson berkata, MaxContact MC6 tidak saja meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, malah cemerlang dalam sebarang permukaan jalan termasuk ketika hujan.

“Tayar terbaru ini direka khusus bagi mereka yang mahukan tayar premium untuk kegunaan harian, tetapi tetap mementingkan prestasi,” katanya.

Continental MaxContact MC6 didatangkan bersama enam saiz tayar berbeza bermula saiz 16 inci sehingga 20 inci dengan siri 30 hingga 55.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 3:59am
d