vroom

Go Auto perkenal bas elektrik

Oleh HM Digital

GO Auto kini berada atas landasan tepat dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar dan komponen kenderaan elektrik (EV) serantau apabila bakal memperkenalkan bas elektrik dalam masa terdekat.

Pengarah Eksekutif Go Auto, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata, semua prototaip EV kini hampir siap sepenuhnya.

“Go Auto diberikan kepercayaan untuk membekalkan bas elektrik membabitkan kos pelaburan bernilai RM30 juta daripada kerajaan negeri Melaka.

“Unit terawal bas elektrik dijangka diserahkan hujung tahun ini,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama Go Auto turut dalam perbincangan terakhir untuk beberapa projek baru bagi membekalkan bas elektrik.

“Ini selaras Dasar Automotif Negara (NAP) 2014 apabila Malaysia menetapkan sasaran satu juta jumlah jualan industri (TIV) menjelang 2020 di mana 10 peratus adalah EV.

“Pembabitan Go Auto dalam membangunkan EV dan komponen berteknologi tinggi adalah sebahagian usaha menjayakan NAP2014,” katanya.

Katanya, secara tidak langsung ini meletakkan Go Auto sebagai antara syarikat peneraju utama yang komited mahu membangunkan ekosistem EV secara serius.

“Kami berbangga apabila diberikan kepercayaan dan komited mahu membangunkan komponen EV untuk pasaran Malaysia dan ASEAN.

“Bagi memastikan penghasilan komponen EV berjalan lancar, kami menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat pengeluar EV lain termasuk pembuat bateri Microvast dari Amerika Syarikat dan pengeluar bas Higer,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 4:16am
d