vroom

Cruiser Indian bergaya

Oleh Lizam Ridzuan

Buat penggemar motosikal cruiser, jenama Indian menawarkan bukan sahaja tunggangan yang santai malah rekaan menggabungkan elemen klasik dan moden menjadikan ia tampil bergaya.

Jentera berasal dari Amerika Syarikat itu yang ditubuhkan sejak 1901 mula memasuki pasaran negara ini pada 2011 menawarkan rangkaian model yang premium dan tersendiri.

Penulis berpeluang menunggang uji moden Indian Scout 2016 yang diperkenalkan di Malaysia pada 2015 dan dibawa masuk oleh pengedar rasmi jenama itu Harmony Fabulous Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Naza World.

Scout antara model paling berjaya dihasilkan oleh Indian sekitar 1920 hingga 1945 sebelum dihentikan pengeluarannya pada 2003 dan kembali dengan model terbaru pada 2015 selepas diambil alih oleh Polaris Industries.

Dikuasakan enjin 1,133cc berkembar V sejukan cecair, ia menawarkan jentera berprestasi selain sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah motosikal eksklusif bagi tunggangan hujung minggu.

Selain responsif, kerangka yang kelihatan tegap ini seberat 250 kilogram (kg) diinspirasikan daripada rekaan geometri model asal Scout pada 1920.

Ia ringan dan mudah untuk dikawal sama ada pada kelajuan tinggi atau ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat bagi meletakkan kaki di atas jalan raya.

Dipadankan dengan kuasa kuda 100hp pada 8,100rpm dan tork 98Nm pada 6,000rpm menjadikan motosikal itu mudah memintas kenderaan selain perjalanan sentiasa lancar dengan aliran tenaga yang berterusan melalui gear enam kelajuan.

Posisi menunggang lebih sesuai untuk mereka yang bertubuh tinggi kerana faktor jarak pemegang dari tempat duduk dan pelana setinggi 643 milimeter (mm) sangat empuk dan selesa.

Paparan meter ringkas dan mudah dilihat gabungan analog untuk kelajuan dan digital bagi maklumat tachometer, trip, kedudukan gear, suhu enjin dan lampu bahan api rendah.

Meskipun tiada indikasi tahap bahan api, tangki Scout dengan 12.5 liter mampu bergerak lebih 250 kilometer (km) sesuai untuk perjalanan jauh terutama jika berkonvoi.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga asas bermula daripada RM125,080 dengan dua tahun waranti tanpa had jarak perbatuan serta tujuh pilihan warna iaitu hitam Thunder, perak Smoke, hitam Smoke Thunder, metalik Burgundy, krim Ivory, biru Brilliant Over White & Red dan merah Indian Over Thunder Black.

SPESIFIKASI:

Indian Scout

Enjin: 1,133cc, 4 silinder sebaris V berkembar

Kuasa maksimum: 100hp pada 8,100rpm

Tork maksimum: 98Nm pada 6,000rpm

Kapasiti petrol: 12.5 liter

Ciri keselamatan: Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)

Harga: RM125,080 (atas jalan tanpa insurans)

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 4:23am
d