vroom

Gaya tersendiri supermotard

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Zaman motosikal lasak atau scrambler sebenarnya sudah lama berlalu dan antara jenama yang popular pada waktu itu seperti Yamaha, Kawasaki, Suzuki dan Honda.

Namun dalam tempoh beberapa tahun ini lambakan motosikal jenis motard atau supermoto yang iras-iras scrambler, semakin hangat di pasaran dan mendapat sambutan menggalakkan.

Pengeluaran motosikal jenis ini daripada syarikat baru seperti Demak, KTN, MLE dan sebagainya ternyata merancakkan lagi dunia permotoran berikutan harganya yang mesra pengguna dan mampu milik.

Vroom kali ini membawakan pembaca melihat keunikan jentera XTM MLE 200 milik ‘otai’ dari Kulim, Kedah di mana motard atau supermoto diubah suai ke konsep on road dan lebih menarik apabila diinspirasikan gaya jentera KTM.

Selain itu, penambahan dan penukaran aksesori motosikal menjadikan jentera ini menawan dan ternyata tidaklah sesuai digunakan untuk bermain lumpur atau kegunaan lasak.

Jentera binaan 2014 bersesaran 200cc milik Mohamad Radzi Hashim, 47, atau dikenali dengan nama ‘Otai Dee @ Abang Dee’ berbeza berbanding asal.

Tema pada set cover jentera diubah suai secara cat semburan dan mengambil asas jentera KTM sebelum diabadikan pada jenteranya.

Penggunaan madgad hadapan dan belakang (mudguard) Kawasaki KLX450 ternyata berjaya mengubah dan menenggelamkan rupa asal jentera.

Begitu juga dengan papan pelindung hadapan yang bertindak seolah-olah kepala jentera ianya turut mengguna pakai komponen Kawasaki KLX itu.

Seterusnya tempat duduk binaan khas dan tampak lebih leper berbanding asal dan di bawahnya terselit ekzos motosikal jenis sama buatan KTN.

Berikutan ia digunakan untuk berkonvoi dan perjalanan jauh, enjin asal langsung tidak diusik dan dijaga rapi.

Selain itu gegancu asal jentera turut diubah dan menurut pemilik dengan kemasukan saiz 45 di belakang dan 15 di bahagian hadapan menjadikan kuasa tanjakan jenteranya lebih menonjol.

Beberapa lagi aksesori tambahan seperti handle guard dan fork guard menjadikan jentera lebih bergaya namun gaya sebenar jentera itu terserlah selepas dipadankan dengan rim aloi bersaiz 17 inci.

Ditanya mengenai kos modifikasi, sebanyak RM4,000 dilaburkan oleh pemilik dan masih ada beberapa bahagian yang dalam rancangan tambah baik akan dilakukan tidak lama lagi.

XTM MLE 200

• 200CC tahun 2014

• Enjin asal

• Ubah suai konsep KTM

• pelindung badan teknik semburan angin

• Pelindung tayar Kawasaki KLX 450

• Dada atau papan hadapan Kawasaki KLX450

• Ekzos KTN

• Rim Aloi 17 inci

• Sproket 43/15

• Handle dan Fork Guard aksesori

• Tempat duduk kustom

• Kos modifikasi RM4,000

• Kelab Kulim Motard Family

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 9:55am
d