vroom

Riuh, bercahaya dan meriah

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Kehadiran 80 kenderaan autoshow menyebabkan perkarangan Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang, minggu lalu, riuh rendah dengan sistem audio bingit selain disinari pancaran cahaya sehingga menarik perhatian ribuan pengunjung.

Pelbagai jenis jentera tidak kira usia yang diubah suai lengkap bersama sistem audio dan cahaya dengan gaya tersendiri.

Ternyata suasana diwujudkan seperti satu pesta audio dengan disusuli cahaya memancar keluar daripada setiap kereta yang mengambil bahagian.

Penganjuran Karnival Permotoran oleh Kelab Sukan Bermotor Mutiara dengan kerjasama Kompleks Bukit Jambul itu menawarkan hadiah wang tunai dan hampar keseluruhan berjumlah RM2,000, membabitkan 10 kategori berbeza.

Peserta dari Johor dengan jentera Proton Saga BLM modifikasi dinobat juara keseluruhan dan membawa pulang wang tunai serta trofi.

Pengarah Operasi Kelab Sukan Bermotor Mutiara, Khairul Ilhami Hassan, berkata program diadakan bertujuan menarik pengunjung ke kompleks di samping memberi peluang kepada peserta mempertontonkan kreativiti masing-masing.

“Setiap jentera yang mengambil bahagian diwajibkan mempunyai sistem audio dan lampu LED, bersesuaian dengan tema audio dan cahaya.

“Acara dianjurkan ini bermula jam 12 tengah hari hingga 11 malam berjaya menarik lebih 3,000 pengunjung,” katanya.

Menurut Khairul, acara itu secara tidak langsung merapatkan silaturahim antara peserta.

“Ini juga membuktikan karnival permotoran dalam acara audio dan cahaya masih mempunyai peminat tersendiri,” katanya.

Khairul berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan satu karnival permotoran mega pada tahun hadapan bagi menarik lebih ramai peminat permotoran menyertainya, namun belum memutuskan tarikh dan lokasi yang sesuai.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 12:00am
d