vroom

Manusia, robot bekerjasama

Oleh Mohd Razlan Salleh

Siapa sangka produk Honda yang asalnya hanya mesin janakuasa mudah alih pada 1965, akhirnya dikenali sebagai jenama kenderaan yang menguasai pasaran automotif dunia dengan model melangkaui jangkaan masa.

Bukan sahaja reka bentuk dan enjin terbaik, malah tidak terkecuali sistem transmisi terbaru dalam barisan kenderaan Honda, Intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD) diperkenalkan adalah tercanggih.

Kesempatan mengunjungi Kilang Pengeluaran Honda di Suzuka, Jepun, sempena Pameran Motor Tokyo (TMS) 2017, baru-baru ini, memberi gambaran jelas wawasan Honda mencipta teknologi kenderaan lebih sempurna dan mesra alam menjelang 2030.

Kilang pengeluaran ketiga Honda di Jepun ini memulakan operasi pada 1965 dengan sektor pembuatan lebih menjurus terhadap pemasangan kenderaan kompak seperti Jazz (atau Fit di Jepun), hibrid dan kenderaan mini dikenali sebagai N Series selain sistem transmisi.

Pada masa sama, kilang ini juga menjadi pusat bekalan alat ganti dan bahagian kenderaan untuk pasaran domestik, di samping membekalkannya ke kilang Honda di 27 negara seluruh dunia.

Dalam erti kata lain, kilang pengeluaran ini adalah nadi industri Honda dalam menyalurkan alat ganti dan bahagian kenderaan ke seluruh dunia selain menjadi pusat khidmat bantuan teknikal.

Sudah pasti untuk menghasilkan produk pada tahap kualiti terbaik, Kilang Pembuatan Suzuka dilengkapi mesin jitu tercanggih yang dioperasikan oleh robot. Hampir semua operasi dilaksanakan robot termasuk memasang tayar dan mengetatkan nat roda.

Menurut Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Akkbar Danial, prinsip ‘menghormati individu’ diamalkan Honda menjanjikan pembuatan lebih cekap dan pantas.

“Sistem bersepadu di antara manusia dan robot dalam beberapa tugasan secara tidak langsung menjimatkan masa serta tenaga.

“Pengendalian objek berat diganti dengan tenaga robot supaya kilang dapat mewujudkan suasana kerja yang ideal,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 12:00am
d