vroom

SUV kompak maskulin

Oleh Lizam Ridzuan

Sejak mula memasuki pasaran tempatan pada 2010 secara import sepenuhnya (CBU) sebelum memperkenalkan varian pemasangan tempatan (CKD) empat tahun kemudian, kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi ASX sentiasa menjadi perhatian peminat kenderaan urban yang lasak.

Pengenalan model edisi terhad ASX Adventure, baru-baru ini, membolehkan SUV ini mengekalkan momentum sebagai antara kenderaan pilihan dalam kelasnya.

Sebagai nilai tambah terhadap edisi terhad ini, hanya 60 unit ditawarkan dengan beberapa penambahan kosmetik yang lebih bergaya. Didatangkan bersama penampilan jeriji hadapan dan rekaan bampar belakang baru selain hiasan pintu sisi serta dapra termasuk rim aloi 18 inci.

Bagi ruangan dalaman pula, jahitan dan garisan biru untuk kerusi kulit dan kemasan pintu, menyerlahkan gaya jentera urban.

Hadir dengan warna biru Metallic Sporty, ASX Adventure juga didatangkan dengan pedal aluminium pada kemasan corong pendingin hawa.

Tiada perubahan enjin dilakukan dan masih mengekalkan nadi 2.0 liter MIVEC yang menawarkan 150 Ps dengan daya tujahan 197 Nm bersama tranmisi enam kelajuan INVECS-III CVT.

Untuk ciri keselamatan, ia dilengkapi tiga beg udara, Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA).

Model ini juga didatangkan bersama lampu nyalaan siang (DRL) dan cermin sisi boleh lipat secara automatik selain ruang simpanan seluas 400 liter.

Keseimbangan berat keseluruhan dan bentuk aerodinamik membolehkan purata penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 13.2 kilometer per liter (km/l).

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Tomoyuki Shinnishi berkata, ASX bukan saja model gaya aktif terkini, malah hadir dengan penampilan lebih ranggi.

“Selain lebih maskulin, edisi terhad ini juga berbeza dengan model standard lain.

“Malah, tawaran hujung tahun Mitsubishi yang menarik seperti rebat sehingga RM11,000 pasti berbaloi untuk dimiliki,” katanya.

Mitsubishi ASX Adventure dijual pada harga bermula RM123,259 (tanpa insurans) dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 12:36am
d