vroom

'Rabbit' penakluk litar

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Memiliki motosikal idaman sememangnya menjadi impian setiap ‘kaki jentera dua roda’, apatah lagi mampu memecut laju di litar lumba atau paling tidak menjadi perhatian ketika berada di jalan raya.

Namun, untuk melakukan pengubahsuaian terhadap motosikal untuk kegunaan litar bukan sedikit, mungkin memakan kos mencecah puluhan ribu ringgit.

Itu yang dilakukan terhadap jentera Honda CBR 1000RR milik Fastthrottle Motorsports dari Sungai Petani, Kedah, diubah suai sehingga mampu bersaing dalam perlumbaan di litar lumba.

Hasil modifikasi yang ekstrem membolehkan motosikal yang dikenali sebagai ‘rabbit’ dalam kalangan kaki motor berikutan bentuk hadapan seakan kepala arnab ini menyertai siri perlumbaan Malaysia Superbike Championship (MSC), baru-baru ini.

Biarpun menduduki tempat kedua dalam keseluruhan pusingan, ia cukup membanggakan berikutan Fastthrottle Motorsports hanya berstatus ‘persendirian’ dan tiada penaja.

Melihat keadaan jentera ini, ternyata ia diubah suai dengan pelbagai komponen dan aksesori yang hanya dikhaskan untuk perlumbaan.

Bentuk luaran dengan kit badan binaan khas sudah menggambarkan jentera ini bukan dikhaskan untuk kegunaan jalanan, namun sebaliknya.

Malah, hampir keseluruhan komponen tambahan untuk perlumbaan menelan modal yang tinggi.

Ketika ditanya mengenai kos dibelanjakan, wakil pemilik jentera ini mendedahkan nilai modifikasi melebihi RM60,000.

Bahagian enjin tampak bersahaja dan masih mengekalkan keaslian, namun penggunaan pelbagai komponen prestasi daripada Honda Racing Corporation (HRC) seperti Valve Spring, Gasket, Brake Pad, Harness dan sebagainya membantu meningkat sistem kuasa enjin.

Penggunaan ekzos Akrapovic Racing Titanium memberi kelebihan dan kuasa tambahan ketika memecut.

Alat khas seperti Quick Shifter antara komponen ‘wajib’ bagi memudahkan pertukaran gear tanpa menggunakan klac tangan.

Pelbagai aksesori lain turut dipadankan antaranya STM Racing Clutch, Bonamici Racing Fotrest, Lightech Racing Handle, Chain Adjuster, Gegancu RK Racing dan sebagainya.

Selepas berjaya meraih keputusan memberangsangkan dalam MSC, Fastthrottle Motorsports kini giat mencari penaja bagi membolehkan jentera mereka meneruskan perlumbaan pada musim akan datang, seterusnya mencabar pasukan lain.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 9:27am
d